BeritaMenarikProgram

99 pelajar lepasan Tahfiz berjaya memperolehi sijil SPM

SEREMBAN: Program Fast Track SPM Lepasan Tahfiz adalah atas inisiatif Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan untuk memberi peluang kepada pelajar lepasan tahfiz mengikuti program akademik yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Ismail Lasim berkata, inisiatif ini mula diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, di mana Kerajaan Negeri pada waktu itu telah memperuntukkan sebanyak RM0.5 juta bagi membiayai anak-anak tahfiz memperolehi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dalam tempoh yang singkat atau Fast Track.

“Manakala dalam Belanjawan 2022 dan 2023 pula telah diluluskan peruntukan pelaksanaan program ini ditingkatkan kepada RM1.0 juta bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak hafiz dan hafizah mengikuti program ini.

“Berdasarkan keputusan SPM tahun 2023 baru-baru ini, semua 51 orang pelajar Fast Track Intake Kedua Tahun 2022 di Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah telah berjaya memperolehi sijil yang melayakkan pelajar-pelajar tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di mana lapan orang pelajar telah lulus dengan cemerlang memperolehi keputusan 8A dan 7A,’ kata Ismail.

Menurut Ismail lagi, ia menjadikan rekod seramai 99 orang pelajar sepanjang tempoh dua tahun pelaksanaan program Fast Track ini pada tahun 2021 sehingga 2022 telah berjaya memperolehi sijil SPM.

“Pada tahun ini pula, seramai 72 orang pelajar sedang mengikuti program ini di Sekolah Agama Swasta iaitu 50 orang murid di Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah mengikuti pengajian Islam dan 22 orang murid di Sekolah Sri Seremban mengikuti pengajian Sains Tulen.

“Sehubungan dengan itu, program ini wajar diteruskan pada tahun 2024 kerana melihat kepada prestasi program ini yang amat baik dan memberi manfaat kepada pelajar lepasan tahfiz terutamanya.

“Sekiranya program ini ingin diteruskan dengan jumlah peruntukan yang sama iaitu RM1.0 juta pada tahun 2024, sasaran pengambilan pelajar adalah maksimum seramai 80 orang,” jelas Ismail.

Ismail berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Lenggeng, YB Mohd Asna Amin di Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

YB Mohd Asna Amin (Lenggeng-BN)
Show More

Related Articles

Back to top button