Aminuddin cadang pengajaran dan pembelajaran melalui televisyen
Cadangan saluran khas TV Pendidikan dalam tempoh PKP
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mencadangkan Kementerian Pendidikan agar memperkenalkan semula sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui saluran televisyen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hampir setiap rumah ada kemudahan siaran televisyen. Pendidikan melalui televisyen harus diberi perhatian.
“Saya mencadangkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia memperkenalkan sesi pengajaran dan pembelajaran melalui saluran televisyen dalam tempoh PKP ini.
“Mungkin boleh perkenalkan saluran khas TV Pendidikan. Masa siaran boleh dibahagikan mengikut darjah dan tingkatan serta subjek dan silibus tertentu.
“Siaran TV Pendidikan dulu pun ada (tahun 80an),” kata Aminuddin pada sidang media khas di Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar hari ini.
Aminuddin berkata, beliau melontarkan cadangan tersebut kepada Kerajaan Pusat memandangkan sesi persekolahan tertangguh sejak beberapa bulan yang lepas akibat pandemik Covid-19.
“Terdapat kekangan di kalangan ibubapa yang tidak mempunyai kemudahan komputer, telefon pintar (smartphone) atau talian internet di rumah untuk membolehkan anak mereka menghadiri kelas secara talian (online),” ujar beliau.