Aminuddin lancar Kempen Ambilan Pelajar Baharu KAYNS
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melancarkan Kempen Ambilan Pelajar Baharu Kolej Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) di Wisma Negeri kelmarin.
Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah memberikan perhatian khusus kepada kemajuan KAYNS dengan pembinaan kampus baru yang bernilai RM10 juta, yang dijangka siap pada Februari 2022.
“Turut diberi perhatian, struktur kepimpinan dan pengurusan yang baru, organisasi yang lebih berkesan, pengurusan dana dan kewangan yang lebih stabil, kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih selesa, ruang kapasiti lebih tinggi dan suasana persekitaran yang lebih selesa.
“Dengan tema kempen 1 Kampung 1 Pelajar, KAYNS menyasarkan untuk mengambil seramai 500 pelajar berusia 15 hingga 45 tahun bagi tahun ini. Sesi pengambilan pertama dari Januari hingga Mac 2021 dan sesi pengambilan kedua dari Julai hingga September 2021.
“Pembiayaan pengajian disediakan dalam bentuk sama ada tajaan atau pinjaman Yayasan Negeri Sembilan. Manakala bagi keluarga asnaf, tajaan sepenuhnya akan ditawarkan,” kata Aminuddin.
Automotif, Elektrik, Elektronik Industri, Kulinari dan Pengurusan Pejabat
KAYNS adalah merupakan anak syarikat Yayasan Negeri Sembilan (YNS) yang menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) melalui tiga institut di bawahnya iaitu Institut Teknologi YNS (ITYNS), Institut Pelancongan dan Perhotelan YNS (IPPNS) dan Institut Pengurusan dan Perindustrian YNS (IPPYNS); yang memulakan operasi sejak 22 Julai 1993.
Program-program di KAYNS adalah di peringkat Sijil dan Diploma di bawah pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Sejak institusi ini ditubuhkan, ribuan graduan institusi ini telah pun mencapai kejayaan dan kecemerlangan tinggi dalam kerjaya masing-masing. Ianya bersesuaian dengan era Revolusi Industri 4.0, TVET ini akan terus diperlukan dan berkembang.
Kursus utama yang ditawarkan oleh KAYNS ialah Automotif, Elektrik, Pembuat Pakaian, Pengurusan Pejabat, Elektronik Industri, Kulinari, Pastri, Pengurusan Restoran, Kaunter Hadapan dan Operasi Latihan Vokasional.
Pelajar yang berminat, boleh hubungi KAYNS di talian 06-7687066 atau 013-811 1152. Pelajar juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Rakyat DUN dan Pejabat Penyelaras DUN yang berdekatan.
Foto: Nabil Syafiq