Kolumnis

2021 – Musuhnya habis binasa!

Fadi Fathi

“Duo satu kocik bona,
“Ompek satu sonyum lebar,
“Kalau boleh tujuh kosong,
“Biar dio balik melopong, melopong-melopong,” Allahyarham Poie

Aduh! Sangat rindu untuk kita bersama menyanyikan lagu ini dengan penuh semangat di laman keramat kita di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi. Sungguh meremang bila gol demi gol dapat kita saksikan disumbat masuk oleh penyarung jersi keramat Negeri Sembilan, para pemain skuad Hobin Jang Hobin di Paroi.

Bilakah kita dapat kembali memenuhi stadium semula seperti biasa? Hentikanlah,jauhkanlah pandemik Covid-19 ini dari bumi tercinta ini.

Esok 5 Mac 2021, bolasepak kita kembali. Sepak mula Liga Malaysia dimulakan walaupun negara masih di dalam tempoh perintah kawalan pergerakan. Industri ini mesti diteruskan demi kelangsungan sukan nombor satu di Malaysia khususnya Negeri Sembilan.

Bagaimanakah persediaan pasukan kesayangan kita, Negeri Sembilan? Syarat penganjur Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) yang mewajibkan setiap pasukan ditadbir dengan profesional telah melahirkan Negeri Sembilan Football Club (NSFC), satu nama baru bagi pasukan Negeri Sembilan. NSFC juga kini telah memiliki logo baharu yang baru-baru ini telah dipilih dari penyertaan para peminat setia Negeri Sembilan.

Sudah terlalu lama kita tercicir dari pasukan elit Liga Malaysia. Kita bukan lagi pencabar kuat bagi mana-mana kejuaraan. Seperti mana kejayaan yang lepas hanya akan tinggal sebagai kenangan dan sejarah, kita lupakan prestasi tahun lepas dan sebelumnya. Ayuh kita mara ke hadapan!

Tahun 2021 diharapkan bermulalah tahun kebangkitan bolasepak sebenar NSFC. Sokongan semua pihak ditagih bagi merealisasikan harapan ini. Komitmen dan kesungguhan tinggi dari kepimpinan, pengurusan dan seluruh pemain NSFC dituntut bagi menjayakan cita-cita ini.

Devan jurulatih baru

Bermula dengan menamakan K.Devan sebagai pengemudi pasukan bagi musim 2021, satu langkah yang tepat telah diambil apabila menamakan jurulatih yang berpengalaman luas dan masih segar dengan bolasepak moden. Faktor sebagai bekas pemain Negeri Sembilan dan anak jati Negeri Sembilan juga satu kelebihan dalam CV beliau.

Devan sudah pasti ingin menebus kembali kekecewaan peminat pada 2015 apabila pasukan yang dikemudi beliau pada waktu itu gagal untuk mara ke Liga Super.

Devan telah menamakan bekas bintang skuad Negeri Sembilan, K.Rajan sebagai pembantunya dan Ahmad Osman yang merupakan jurulatih paling lama berkhidmat bersama Negeri Sembilan. Manakala bekas penjaga gol kebangsaan, Megat Amir Faisal dilantik sebagai jurulatih penjaga gol.

Zaquan Adha kembali

Kembalinya watak yang dirindui para peminat NSFC, Zaquan Adha Abd Radzak adalah satu loncatan momentum bagi menarik sokongan tinggi para penyokong untuk kembali bersama memberikan sokongan kepada pasukan NSFC pada musim ini. Aura yang dibawa oleh penyerang kebangsaan ini tidak diragui lagi, dengan lantikan beliau sebagai ketua pasukan musim baharu ini, seharusnya menyuntik semangat kepada NSFC bagi menyinar dalam saingan liga musim ini.

Nasrullah Haniff, Annas Rahmat, R.Aroon dan R.Barathkumar juga anak jati yang telah dibawa masuk semula ke dalam pasukan oleh Devan. Kesemua pemain ini yang telah meraih pengalaman luas dengan pasukan-pasukan dari Liga Super yang lain dan diharapkan dapat memberikan impak yang sangat besar kepada pasukan negeri pada kali ini.

Pemilihan keseluruhan pemain pada musim ini dilihat agak teliti dan pemain-pemain luar yang dibawa masuk boleh dikatakan semua mempunyai kualiti tersendiri dan bebas dari kecederaan. Tiada lagi istilah pemain-pemain buangan pasukan lain atau pemain yang hampir ‘pencen’ seperti musim-musim lalu.

Dua anak jati muda berpotensi besar

Purata umur pemain pasukan ini dari keseluruhan 24 orang pemain yang diumumkan di laman rasmi NSFC baru-baru ini adalah 27 tahun. Satu umur yang dianggap matang dan berada di kemuncak prestasi.

Menariknya dua orang anak jati muda dibawa naik dari pasukan remaja iaitu A.Selvan dan N.Javabilaarivin. Keduanya baru berusia 21 tahun, namun potensi mereka sangat besar dan kita harapkan mereka digilap dengan sangat baik dan selalu diberi peluang beraksi oleh jurulatih.

Raja Imran bekas ketua pasukan remaja PKNS dan bekas pemain skuad remaja kebangsaan Ahmad Tasnim yang keduanya berusia 22 tahun juga adalah antara nama muda yang perlu diberi perhatian pada kali ini.

Nama-nama lain seperti Saiful Ridzuwan bekas pemain Harimau Muda, Feris Danial, Muhaimin Mohamad, S.Deevan Raj dijangka menjadi tunjang kepada pasukan ini.

Import Brazil, Cameroon dan Korea Selatan

Empat pemain, dua dari Brazil iaitu Rafael Gomes, 30 (penyerang) dan Fernando Barbosa, 29 (pertahanan), Bae Boem-Gun, 28 (tengah) dari Korea Selatan dan Alain Akono, 25 (penyerang) dari Cameroon dipilih mengisi kuota pemain import NSFC musim ini.

Menerusi tiga perlawanan persahabatan yang telah dilalui sebelum ini, nama Alain Akono melonjak dengan prestasi baik hasil sumbangan dua gol jaringan beliau. Tiga kemenangan ini juga adalah satu tonik yang baik bagi memulakan saingan sebenar nanti. Kuala Lumpur United FC, Penang FC dan Sri Pahang FC ketiganya pasukan dari Liga Super menjadi mangsa kebangkitan NSFC.

Jika dilihat di atas kertas, dengan skuad yang ada dan lawan yang berada di Liga Premier 2021 tiada sebab mengapa NSFC tercicir lagi untuk ke Liga Super 2022.

Final Piala Malaysia dan Liga Super 2022

Daripada 11 pasukan, NSFC hanya bersaing dengan lima pasukan untuk merebut dua slot ke Liga Super 2022. Kelantan FC, Sarawak United FC, PDRM FC, Kelantan United FC dan Kuching City FC menjadi pencabar untuk ke Liga Super.

Manakala lima lagi pasukan (Selangor II, JDT II, Perak II, Terengganu II dan Projek FAM-MSN) adalah pasukan pembangunan yang tidak dibolehkan untuk dinaikkan pangkat ke liga utama walaupun prestasi mereka berada di kedudukan tertinggi Liga Premier.

NSFC perlu mengutip semaksimum mata pada pusingan pertama ini. Bermula dengan perlawanan menentang JDT 2 di Paroi, NSFC harus mengutip tiga mata awal bagi mengukuhkan cengkaman untuk merajai Liga Premier musim ini.

Kita mahu pastikan NSFC berada di kedudukan dua teratas pada pusingan pertama kerana pandemik ini masih belum terhenti, maka jika diambil keputusan musim lepas, liga hanya berjalan sepusingan. Mana-mana pasukan yang lambat panas, pasti akan terlepas peluang untuk merebut dua slot ke Liga Super ini.

Pelancaran jersi baharu NSFC baru-baru ini juga sungguh mengujakan. Penaja pakaian NSFC dari Kaki Jersi Sdn Bhd telah menampilkan jersi yang amat bermutu dan gah dipakai para pemain di atas padang. Suatu jenama tempatan yang harus dipuji kerana berjaya menampilkan rekaan berciri antarabangsa.

Kita tidak mahu dikecewakan lagi. Cukuplah kita sudah lama melopong melihat pasukan lain saban tahun meninggalkan kita. Kita pernah digeruni satu ketika dahulu. Kita pernah dicemburui kerana berjaya memasuki final Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut.

Kita cabar NSFC untuk bawa kami penyokong setia anda ke arena final Piala Malaysia sekali lagi namun yang paling penting bagi kami adalah kami ingin NSFC beraksi di Liga Super 2022. Bukan sekadar meloloskan diri ke Liga Super, akan tetapi memasuki liga dengan cukup bersedia dan bergaya sehingga mampu bersaing dan kembali menjadi pasukan elit di Liga Malaysia pada tahun-tahun ke hadapan.

Itulah doa dan harapan kami para peminat setia skuad Hobin Jang Hobin. Musuhnya habis binasa.

 

Fadi Fathi merupakan peminat, pemerhati dan penganalisis bolasepak tempatan sejak 20 tahun.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menyatakan pendirian rasmi Negeri Kita.

Kredit Foto: Facebook Negeri Sembilan Football Club

Show More

Related Articles

Back to top button