Berita

Aminuddin mahu huffaz menyantuni pegawai masjid dan surau

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau mengharapkan seluruh huffaz di Negeri Sembilan dapat menyantuni sejumlah 301 buah Masjid dan 1020 Surau serta 1,165 pegawai masjid seluruh Negeri Sembilan.

Bercakap di Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Penerima Insentif Galakan Isbat Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan, Aminuddin berkata program seperti peningkatan kualiti bacaan Al-Quran serta memperkemaskan persediaan dalam memimpin solat berjemaah kepada seluruh pegawai masjid diharapkan dapat melonjakkan usaha pengimarahan masjid di Negeri Sembilan.

“Para huffaz merupakan pejuang barisan hadapan dalam bidang dakwah. Jika disorot sirah Nabi Muhammad SAW, para huffaz diberikan kedudukan yang amat istimewa. Mereka adalah tunjang utama dalam usaha pengembangan Islam.

“Pada zaman Baginda, apabila sesuatu kaum atau kampung memeluk Islam, Rasulullah SAW akan mengutus pendakwah dalam kalangan sahabat yang merupakan Qurra’ (orang yang mahir dalam bidang al-Quran) untuk mengajarkan al-Quran dan isinya.

“Jadi besarlah harapan saya agar program-program yang telah dan sedang diatur bersama para penerima insentif ini akan memberikan impak besar terhadap umat Islam di Negeri Sembilan khususnya dalam memanfaatkan kepakaran mereka ini,” kata beliau.

Menurut Aminuddin lagi, selain memastikan para huffaz dapat mengekalkan hafazan mereka, program ini juga diharapkan dapat menyubur dan memperluaskan kemahiran hafazan dan ilmu mereka kepada penduduk di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri merakamkan rasa bersyukur dan bangga melihat semakin ramai anak-anak muda yang bergelar hafiz dan hafizah yang berupaya menghafal 30 juzu’ Al-Quran dengan jayanya.

“Hal ini bukanlah satu usaha yang mudah yang boleh ditiru oleh semua orang, kerana ianya memerlukan pimpinan rohani yang sangat tinggi beserta tertib murajaah dalam hafazannya.

“Namun, kita juga mengimpikan sebuah masyarakat yang dipimpin oleh golongan profesional seperti doktor, jurutera, akitek dan akauntan yang bergelar hafiz dan hafizah,” ujar beliau.

Aminuddin berkata, sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM0.5 juta bagi membiayai anak-anak tahfiz memperolehi Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dalam tempoh yang singkat atau fast track, walaupun tidak mengikuti silibus akademik yang rutin di sekolah.

“Selain itu, Kerajaan Negeri sejak 2019 telah memperkenalkan Inisiatif Bantuan Sekolah-sekolah Tahfiz, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Swasta.

“Sejumlah RM 8.5 juta telah diperuntukkan bagi inisiatif ini setelah tiga tahun perlaksanaannya.

“Perlaksanaan inisiatif ini terbukti berjaya meningkatkan moral dan mutu pembelajaran di sekolah masing-masing.
“Alhamdulillah, sebanyak 87 buah sekolah telah menerima manfaatnya yang melibatkan seramai hampir 15 ribu orang pelajar,” kata Aminuddin lagi.

Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Penerima Insentif Galakan Isbat Hafazan Al-Quran Negeri Sembilan berlangsung di Klana Resort Seremban pada petang Khamis.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button