Aminuddin nasihat ibu bapa manfaatkan bantuan untuk pendidikan anak
39 pelajar kurang kemampuan terima biasiswa berjumlah RM21,450
SIKAMAT: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menasihatkan ibu bapa yang menerima Biasiswa Anak Negeri Sembilan (BAN) agar memanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan anak-anak.
“Bantuan RM550 setahun ini adalah hak anak-anak kita. Jangan gunakan untuk tujuan lain.
“Kalau belum bayar sumbangan PIBG, gunakanlah duit ini untuk bayaran tersebut.
“Baki duit biasiswa ini boleh bayar tambang van sekolah sehingga hujung musim persekolahan sekiranya anak tuan puan menggunakan perkhidmatan van untuk ke sekolah.
“Kalau cikgu minta duit untuk program pendidikan di sekolah, boleh gunakan duit bantuan ini.
“Tolonglah, jangan gunakan duit bagi pendidikan anak ini untuk tujuan lain,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyerahan Biasiswa Anak Negeri Sembilan DUN Sikamat di Balai Raya Taman Desa Rhu.
Terlebih dahulu, Aminuddin menyerahkan Biasiswa Anak Negeri Sembilan berjumlah RM21,450 kepada 39 ibu bapa yang kurang berkemampuan (mewakili anak) dari DUN Sikamat.