Berita

Aminuddin: Semoga Tahun Baru Cina bawa sinar harapan

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Negeri Sembilan yang meraikannya. Semoga tahun ini akan membawa sinar harapan, kebahagiaan dan kemakmuran kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini mungkin berbeza dari sebelumnya. Ketika kita semua masih dalam usaha menangani penularan Covid-19, sambutan pada tahun ini terpaksa diadakan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beberapa SOP yang perlu dipatuhi.

Namun, sambutan perlu diteruskan dengan penuh tradisi dan adat resam berteraskan nilai positif yang terjalin melalui elemen kekeluargaan sebagai wadah utama. Keharmonian yang terserlah dalam perayaan Tahun Baru Cina adalah cerminan kestabilan yang telah dikecapi selama ini.

Formula kestabilan ini perlu dipertahankan, bahkan dijana dengan penggemblengan lebih besar dalam proses integrasi kaum kerana lebih banyak keuntungan akan diperoleh daripada kestabilan dan keharmonian yang lebih utuh sesama kita.

Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan sentiasa komited memastikan kestabilan ini terus dipertahankan. Melalui komitmen, kesungguhan dan kesepaduan antara rakyat dan pemimpin; Negeri Sembilan mampu membuktikan prestasi yang lebih cemerlang demi untuk manfaat semua.

Kerajaan Negeri prihatin dengan kesan yang diterima oleh rakyat berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun 2020 yang lalu.

Menerusi Pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri telah mengumumkan 53 inisiatif dengan peruntukan RM 69.58 juta bagi membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Semoga kehadiran tahun baru ini memberi makna yang besar dan mendorong kita untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan gemilang di masa akan datang.

Mewakili barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina Negeri Sembilan walau di mana mereka berada.

YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan,
Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat,
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan,
Pengerusi Majlis Pimpinan KeADILan Negeri Sembilan.

12 Februari 2021

Show More

Related Articles

Back to top button