Berita

Wanita MADANI Inspirasi Negeri Sembilan

SEREMBAN: Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, WADANI ialah inisiatif strategik yang dijenamakan semula daripada Power House Wanita Gemilang (PHGEM), namun dengan semangat dan nafas baharu yang lebih sejajar dengan pendekatan Negeri Sembilan MADANI; sebuah dasar pembangunan negeri yang mementingkan kesejahteraan, kemanusiaan, keadilan dan keseimbangan.

Nama WADANI sendiri membawa maksud yang cukup besar – Wanita MADANI Inspirasi Negeri Sembilan.

“Ia bukan sekadar satu program, tetapi sebuah platform pemberdayaan wanita melalui pelbagai program pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, sosial dan advokasi masyarakat.

“Visi WADANI adalah menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan wanita Negeri Sembilan sebagai tonggak keluarga dan pencetus generasi gemilang,” ujar beliau.

Misi WADANI merangkumi:

• Mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang,

• Memperluaskan jaringan profesional dan komuniti sokongan,

• Mewujudkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, dan

• Memperjuangkan kesamarataan dan keadilan bagi semua golongan termasuk yang rentan dan kurang berkemampuan.

Dalam struktur pelaksanaan WADANI memperkenalkan lima kluster utama:

1. Hak Asasi – Pendidikan berkaitan hak wanita, kanak-kanak dan keselamatan.

2. Sosio-ekonomi – Latihan keusahawanan, pemasaran digital dan pembangunan produk tempatan.

3. Pendidikan – Peningkatan literasi, pembangunan diri dan bimbingan akademik.

4. Kesihatan – Kesedaran kesihatan mental dan fizikal, serta penjagaan keluarga.

5. Alam Sekitar – Inisiatif literasi, amalan hijau dan pendidikan kelestarian komuniti.

Noorzunita berkata, dengan pendekatan ini, WADANI bukan sahaja memberi perhatian kepada keperluan ekonomi, tetapi juga nilai kemanusiaan dan pembangunan holistic.

“Saya juga ingin mengiktiraf peranan enam orang penyelia daerah yang telah dilantik bagi menjayakan pelaksanaanWADANI di setiap daerah.

“Mereka inilah yang menjadi mata dan telinga kami di lapangan, merancang program, menjalin hubungan dengan komuniti, dan memastikan segala inisiatif yang dirancang benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

“Peranan mereka tidak boleh dipandang ringan kerana kejayaan sebenar sesebuah dasar adalah apabila impaknya dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi,” kata Noorzunita.

Noorzunita berkata demikian di Majlis Pelancaran WADANI yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di Klana Resort Seremban.

Dalam pada itu, Noorzunita turut berkongsi beberapa kejayaan awal program di bawah WADANI yang telah membuka jalan kepada impak sebenar:

• Karnival Wanita MADANI Negeri Sembilan 2024, yang berjaya memperkukuh jaringan ekonomi tempatan.

• Anugerah Tokoh Wanita MADANI, yang mengiktiraf 44 wanita hebat Negeri Sembilan dari pelbagai bidang.

• N9 Goes Orange, program advokasi menentang budaya buli dan kekerasan terhadap Wanita dan remaja.

• Kasih Prihatin Keluarga Hydrocephalus, inisiatif menyantuni keluarga pesakit yang memerlukan sokongan.

• Program Keusahawanan Mikro, seperti Eco-Print, WireArt dan Craft, Saji Selamat dan Jom Buat Aiskrim Cawan, yang bukan sahaja melatih wanita dengan kemahiran baharu tetapi turut membuka potensi pendapatan dan menambah keyakinan diri.

Noorzunita berkata, kesemua program ini telah dilaksanakan di pelbagai DUN termasuk Pilah, Paroi, Chennah, Kota, Labu dan banyak lagi, membuktikan bahawa WADANI benar-benar merakyat.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh wanita Negeri Sembilan – bangkitlah dengan keyakinan, ambillah peluang yang ada, dan libatkan diri dalam setiap ruang yang disediakan oleh WADANI.

“Jadilah inspirasi bukan hanya kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti, negeri dan negara.

“WADANI bukan sekadar nama. Ia adalah perjuangan. Ia adalah suara. Ia adalah harapan dan ia adalah masa depan.

“Marilah kita terus berganding bahu menjayakan agenda ini – Dari Wanita, Untuk Negeri,” ujar Noorzunita.

Show More

Related Articles

Back to top button