BeritaProgram

Aminuddin umum ‘Jualan Harga Murah’, peruntuk RM5 juta

Barangan keperluan dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah dari harga pasaran

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan ‘Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin’ di seluruh Negeri Sembilan bermula 1 September hingga 31 Disember 2022.

“Dengan peruntukan khas RM5 juta inisiatif ini akan mengembeling kerjasama pengeluar, penternak, petani dan agensi kerajaan, supaya dapat menjual beberapa barangan asas rakyat pada harga ladang sekaligus menghapuskan elemen orang tengah.

“Antara barangan yang akan dijual adalah ayam, daging, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan lain-lain barangan keperluan pada harga yang lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

“Inisiatif ini strategi serampang dua mata yang akan memberi impak positif yang akan dinikmati bukan sahaja oleh rakyat sebagai pembeli; malah pengeluar, penternak dan usahawan tani juga terlibat secara langsung dalam membekalkan produk-produk ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dan beriltizam untuk terus memperkasa dan membela nasib rakyat khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup yang sangat getir pada ketika ini.

“Saya yakin, menerusi inisiatif prihatin Kerajaan Negeri Sembilan ini, sedikit sebanyak akan dapat meringkankan beban hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini,” kata Aminuddin.

Aminuddin mengumumkan inisiatif ini di Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan ke-14 pada Rabu.

Show More

Related Articles

Back to top button