BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan tawar diskaun premium tanah galak perniagaan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menawarkan diskaun premium pembangunan tanah bagi menggalakkan sektor perniagaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, diskaun 25 peratus diberikan kepada pemohon yang menjelaskan bayaran premium sekaligus dalam tempoh 30 hari dari tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada pentadbir Tanah Daerah.

“Sekiranya premium dijelaskan sekaligus dalam tempoh 60 hari, diskaun sebanyak 15 peratus diberikan.

“Kerajaan Negeri juga telah memberikan pengecualian bagi sewaan pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan untuk empat bulan bagi membantu peniaga pada tahun 2021,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Mesyuarat Exco) pada 6 Januari 2021 telah mengambil keputusan bersetuju insentif diskaun bayaran premium pembangunan tanah mulai 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021.

“Mesyuarat Exco pada 28 Julai 2021 melanjutkan insentif mulai 1 Julai 2021 sehingga 24 Disember 2021.

“Pada 19 Januari 2022 lalu, Mesyuarat Exco telah meneruskan insentif diskaun bayaran premium pembangunan tanah mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, YB Dato’ Seri Mohamad Hasan di Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan ke-14 pada Rabu.

Show More

Related Articles

Back to top button