Berita

Aminuddin ziarah mangsa banjir di Kuala Pilah dan Jelebu

JELEBU: Mangsa-mangsa banjir dinasihatkan agar berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara yang disediakan bagi memastikan keselamatan lebih terjamin jika diminta berbuat demikian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Besar Kampung Baru Dangi, Kuala Pilah; Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Kampung Juntai, Simpang Durian dan PPS Dewan D’Sury, Klawang.

Aminuddin berkata, seramai 35 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Besar Kampung Baru Dangi dan 68 mangsa banjir di PPS Dewan D’Sury.

“Pihak keselamatan telah menghulurkan bantuan makanan dan lain-lain keperluan melalui bot kepada mangsa banjir.

“Mangsa banjir di PPS turut dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ada sebilangan mangsa telah dibenarkan kembali ke rumah berikutan keadaan yang semakin baik.

“Walaupun begitu, majoriti mangsa masih ditempatkan di dewan tersebut sehingga keadaan reda,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, sehingga kini 10 PPS sedang dioperasikan melibatkan 80 keluarga dan 369 orang mangsa di seluruh Negeri Sembilan.

“Di kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang tampil membantu masyarakat yang terkesan akibat banjir ini.

“Sudah pasti, semua jenis bantuan dan pertolongan yang dihulurkan memberi impak positif kepada mangsa.

“Insyah Allah, semoga banjir terus reda dan kerja-kerja pembersihan rumah dan kawasan terjejas dapat dilaksanakan dengan segera,” ujar Aminuddin lagi.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button