BeritaProgram

Kerajaan Negeri akan bina rumah baru untuk mangsa banjir

JELEBU: Mangsa yang kehilangan kediaman akibat banjir di Kampung Puom di sini, akan dibantu oleh Kerajaan Negeri Sembilan bagi membina rumah baharu.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, arus air yang deras telah menghanyutkan empat buah rumah di Kampung Puom.

“Kampung Puom antara kawasan yang sangat terjejas akibat banjir kali ini.

“Paras air sungai mulai naik sekitar 10.00 malam pada 18 Disember, yang mengakibatkan rumah yang berada berhampiran dengan sungai ditenggelami air.

“Bagi penduduk yang kehilangan rumah, Kerajaan Negeri Sembilan melalui jabatan dan agensi berkaitan akan menyegerakan bantuan termasuk pembinaan rumah baru bagi meringankan beban mereka,” kata beliau.

Sementara itu, Aminuddin berkata jambatan yang menghubungkan Kampung Puom dengan Titi telah roboh di dua bahagian manakala jalan yang menghubungkan kampung tersebut dengan Chennah diliputi selut yang amat tebal.

“Akibatnya, 150 penduduk kampung kehabisan bekalan makanan, air serta terputus bekalan elektrik.

“Ada mangsa banjir yang terpaksa naik ke atas bumbung dan berpaut pada pokok ketika paras air sedang tinggi.

“Saya dan Pegawai Daerah Jelebu telah merentasi runtuhan jambatan tersebut bagi membolehkan usaha menyantuni penduduk Kampung Poum dan mengenalpasti bantuan yang perlu dihantar segera kepada mereka,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jelebu telah menghantar 20 set khemah untuk kegunaan mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh dan sebuah Pusat Pemindahan Sementara telah diwujudkan di dalam kampung tersebut bagi membolehkan segala bentuk bantuan disalurkan.

“Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghantar bekalan makanan dan air minuman dengan segera kepada mereka.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan pula akan berusaha membuka jalan bagi membolehkan bekalan makanan dibawa masuk dengan cepat,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button