Berita

Arahan pembatalan Kongres Nasional KeADILan, gambarkan rasa takut pada bayangan sendiri,” Aminuddin

SEREMBAN: Pengerusi Majis Pimpinan Negeri, KeADILan Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, arahan pembatalan Kongres Nasional Tahunan KeADILan di saat akhir; menggambarkan cara berfikir melawan arus dan rasa takut dengan bayangan sendiri.

“Kita mengambil maklum keputusan dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membatalkan Kongres Nasional KeADILan di saat akhir setelah kelulusan awal diberi, ini setelah Kongres Nasional Wanita KeADILan dan Kongres Nasional Angkatan Muda KeADILan (AMK) dijalankan.

“Kongres Nasional KeADILan yang dijalankan sepenuhnya secara atas talian (online), adalah suatu amalan demokrasi yang sihat dan mematuhi sepenuhnya tatakelola prosedur yang telah dikeluarkan oleh pihak MKN.

“Arahan pembatalan ini menggambarkan cara berfikir melawan arus dan rasa takut dengan bayangan sendiri.

“Walau apa pun yang berlaku, kepimpinan KeADILan dan seluruh jentera akar umbi Negeri Sembilan akan sentiasa komited dan terus mendukung prinsip-prinsip demokrasi, menegakkan keadilan, memahami aspirasi rakyat dan membela nasib rakyat dengan azam yang jelas di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, ‘Keadilan’ itu membawa erti kehidupan yang sangat penting iaitu meletakkan hak pada tempatnya.

“Saya menyeru semua anggota KeADILan khususnya di Negeri Sembilan, agar kita terus berdiri teguh di dalam saf perjuangan ini bersama Presiden KeADILan dengan mengangkat hak rakyat dan memartabatkan perjuangan parti,” ujar Aminuddin lagi.

Kongres Nasional Tahunan Wanita KeADILan dan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda KeADILan, masing-masing berlangsung secara atas talian pada hari Jumaat (4 Jun) dan Sabtu (5 Jun).

 

 

Foto: Nabil Syafiq & Wanita KeADILan

Show More

Related Articles

Back to top button