Berita

Arul Kumar tawar jalan penyelesaian isu meter air di Flat Lagenda Mantin

JMB turut diminta beri komitmen bayar tunggakan air cecah RM200 ribu

NILAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, YB J.Arul Kumar bersedia membantu penduduk Flat Lagenda di Mantin; berkaitan isu meter air pukal.

Arul Kumar berkata, ini adalah isu berkaitan pembayaran meter air pukal di flat tersebut yang dibawah tanggungjawab JMB (Badan Pengurusan Bersama).

“Bayaran meter air pukal ini adalah berbeza dengan meter pukal yang berada di luar sebelum masuk ke kawasan JMB dengan meter individu setiap rumah.

“Pembayaran ini adalah tanggungjawab JMB melalui bayaran maintanance fee (bayaran selenggara) oleh setiap pemilik rumah.

“Terdapat beberapa JMB di kawasan Kolej Lagenda Mantin yang mempunyai bayaran tunggakan meter air pukal yang sudah mencecah lebih RM200 ribu dan sejak enam atau tujuh tahun lalu tidak membayar sesen pun oleh JMB.

“Ini yang menyebabkan SAINS telah menanggalkan meter pukal dan memotong bekalan air,” jelas Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, beliau bersedia untuk mencari jalan penyelesaian.

“Tetapi JMB juga perlu ada komitmen untuk menyelesaikan tunggakan meter air tersebut.

“Amaun tunggakan meter air pukal yang telah mencecah beratus ribu ringgit itu bukan senang untuk dibayar sekaligus.

“Saya bersedia untuk membantu dan pada masa yang sama perlu ada komitmen daripada JMB juga,” ujar Arul Kumar.

Perbincangan dengan SAINS telah diadakan

Arul Kumar berkata, pada minggu lepas beliau telah berbincang dengan pihak SAINS untuk mencari jalan penyelesaian.

“Pihak SAINS telah meminta JMB yang mempunyai masalah tunggakan, menghantar satu surat rasmi untuk perjumpaan dengan SAINS dan menyatakan komitmen pembayaran ansuran setiap bulan untuk tunggakan meter air pukal tersebut dengan menyatakan amaun yang munasabah dan tempoh masa pembayaran.

“Selepas itu pihak SAINS akan membawa permohonan tersebut kepada pengurusan atasan SAINS untuk mempertimbangkan.

“Jika ada komitmen daripada JMB dengan amaun yang munasabah masalah ini dapat diselesaikan.

“Masalahnya ada JMB sebelum ini berjanji untuk selesaikan tetapi tidak juga.

“Ini yang menyebabkan masalah ini disini tidak dapat diselesaikan,” kata Arul Kumar.

Pemilik rumah perlu bertanggungjawab bayar maintenance fee

Arul Kumar turut menasihatkan pemilik rumah di flat atau apartmen juga perlu ada tanggungjawab dalam membayar maintenance fee kepada JMB untuk membolehkan JMB berfungsi dengan baik dan tidak berhadapan dengan masalah seperti ini.

“Kepada beberapa JMB yang saya ketahui; saya telah memaklumkan untuk menghantar satu surat permohonan rasmi kepada SAINS untuk perjumpaan dengan menyatakan amaun dan tempoh masa untuk selesaikan bil tertunggak.

“Kepada yang lain sila berbuat sedemikian dan selepas itu kita akan jumpa untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya lagi.

Arul Kumar berkata demikian kepada Negeri Kita berkaitan dengan sebuah banner yang dinaikkan di persimpangan masuk ke Bandar Universiti Teknologi Lagenda, Mantin oleh pihak yang tidak diketahui.

Show More

Related Articles

Back to top button