Berita

Lebih 170 tan sampah haram dibersihkan di Taman Seremban Jaya

SEREMBAN JAYA: Longgokan sampah haram yang mencacatkan pemandangan persekitaran di kawasan premis perniagaan Jalan SJ 8/1 Taman Seremban Jaya (Fasa 8) telah dibersihkan.

Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Puan Jamilah Said Ali yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren berkata, lebih 170 tan sampah telah dibersihkan yang membabitkan kos lebih RM50,000.

“Saya turut menyumbang sedikit peruntukan Ahli Majlis berjumlah RM2,000 bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

“Kerja-kerja pembersihan sampah ini mengambil masa hampir seminggu untuk diselesaikan.

“Jalan masuk dihadang dengan batu konkrit dan struktur ini dikekalkan sehingga CCTV dipasang. Ini bagi memastikan pembuangan sampah haram dapat dipantau dan disekat,” kata Jamilah.

Jamilah berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab terus membuang sampah dan mencemarkan persekitaran dan sekali gus menyebabkan pihak berkaitan dikritik teruk.

“Isu pembuangan pelbagai jenis sampah haram di hot spot ini kerap dipertikaian, diviral, diherdik dan ada segelintir masyarakat sering menuding jari kepada ADUN Kawasan, Ahli MBS, MBS, SWM dan SWCorp seolah-olah tidak menjalankan tugas kerana hot spot ini sentiasa dipenuhi sampah.

“Sedangkan apabila kerja-kerja pembersihan ini telah dilakukan, pihak yang tidak bertanggungjawab berterusan membuang sampah secara haram.

“Banner larangan membuang sampah telah diikat di beberapa kawasan memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawap agar tidak membuang sampah di sini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan bantuan bagi menyelesaikan kemelut sampah haram yang dibuang di Jalan SJ 8/1 ini,” jelas Jamilah.

Menurut Jamilah, SWCorp akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Awam (Akta 672) melalui Operasi Intip dan Cekup bagi mengenal pasti individu yang melonggokkan sampah selepas kerja pembersihan diselesaikan bagi memastikan ianya tidak berulang semula.

Turut hadir, Pegawai SWCorp, Puan Siti Yusnita Mohamad Yusof; Pengarah Jabatan Pembersihan dan Kesihatan Persekitaran MBS, Encik Mohamad Lotfee Abdullah; Penguatkuasa SWCorp Encik Akmal, Encik Fizan, Encik Saiful; Pegawai SWM, Encik Firdaus, Encik Husni, Encik Santheru dan Pembantu Ahli MBS Encik Minnal serta Encik Mugunthan.

Beginilah keadaan Jalan SJ 8/1 sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan
Show More

Related Articles

Back to top button