BeritaProgram

PH empat tahun RM23.5 bilion vs BN tujuh tahun RM18 bilion

KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dalam tempoh empat tahun Pakatan Harapan mentadbir Kerajaan Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan berjumlah RM23.5 bilion.

“Kita mencatatkan pelaburan berjumlah RM23.5 bilion dalam masa empat tahun, berbanding pentadbiran terdahulu RM18 bilion dalam tempoh tujuh tahun.

“Kita mencapai kejayaan ini walaupun dalam suasana ekonomi merudum akibat pandemik Covid-19.

“Rizab kewangan negeri juga semakin kukuh apabila berjaya mencecah RM1.06 bilion pada tahun 2021.

“Bukan itu sahaja, manifesto yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu juga hampir selesai sepenuhnya dengan 66 tawaran selesai manakala empat masih dalam tindakan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Sambutan Hari Malaysia Pakatan Harapan Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Melang yang dihadiri lebih 5,000 orang malam tadi.

Menurut Aminuddin lagi, perubahan ke arah lebih baik ini adalah ideologi reformasi yang diunjurkan oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan buat Malaysia.

“Insya Allah, Pakatan Harapan di peringkat negeri dan kebangsaan akan terus mendokong agenda ini dalam usaha untuk membangunkan tanah air tercinta demi rakyat Malaysia,” ujar Aminuddin yang disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh orang ramai yang hadir.

Turut menyampaikan ucapan ialah Presiden KeADILan, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, YB Loke Siew Fook; Presiden AMANAH, YB Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Dato’ Seri Wilfred Madius Tangau.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button