Berita

Asna gesa Kerajaan MADANI pertahan Azam

SEREMBAN: Kerajaan MADANI digesa mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keberanian dan ketegasannya membanteras rasuah berprofil tinggi sejak dilantik pada Mac 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Dato’ Md Asna Amin berkata, kepimpinan Azam Baki telah mengubah landskap penguatkuasaan anti-rasuah negara dengan tindakan berani tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu yang disiasat.

Menurut beliau, sepanjang lima tahun menerajui SPRM, agensi itu berjaya menyita aset bernilai RM3.54 bilion serta melucut hak harta berjumlah RM27.87 bilion, sekali gus memulangkan lebih RM31 bilion kepada negara untuk manfaat rakyat.

“Angka ini bukan kecil. Ia bukti nyata bahawa perjuangan membanteras rasuah bukan sekadar slogan politik, tetapi diterjemahkan melalui tindakan penguatkuasaan yang tegas dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Asna berkata, ketegasan SPRM di bawah kepimpinan Azam Baki telah mewujudkan kesan pencegahan yang kuat, khususnya dalam kalangan penjawat awam dan pemegang kuasa agar tidak menyalahgunakan kedudukan mereka.

Beliau menegaskan, rasuah merupakan ‘anai-anai’ yang meruntuhkan negara jika tidak dibanteras secara menyeluruh kerana ia merosakkan sistem pentadbiran, melemahkan ekonomi serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Negara yang bebas rasuah adalah negara yang kuat, maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Usaha SPRM hari ini telah meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul,” ujarnya.

Menurut Md Asna, kejayaan SPRM menangani kes-kes besar juga secara tidak langsung telah meningkatkan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan MADANI, yang dilihat serius dan konsisten dalam agenda reformasi serta tadbir urus bersih.

Bagaimanapun, beliau mengakui ketegasan tersebut turut menyebabkan Azam Baki berdepan serangan dan tentangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Beliau dan seluruh jentera SPRM kini berada dalam ‘zon perang’. Ini perang menentang perasuah dan kartel yang selama ini merosakkan negara. Serangan akan datang dari pelbagai arah,” katanya.

Sehubungan itu, Md Asna menegaskan kerajaan tidak seharusnya berkompromi atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang cuba melemahkan SPRM.

“Jika kita memiliki seorang ‘jeneral’ yang berani, tegas dan terbukti membawa kemenangan kepada negara, mengapa perlu ditukar?

“Kerajaan MADANI wajib mempertahankan Azam Baki demi kelangsungan agenda membanteras rasuah,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa keberanian SPRM hari ini menjadi simbol kebangkitan negara untuk membina masa depan yang lebih bersih, adil dan berdaulat. (Demi Rakyat Channel).

Show More

Related Articles

Back to top button