BeritaProgram

Bajet 2022: Negeri Sembilan tawar 52 inisiatif berjumlah RM64.09 juta

'Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat'

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan menawarkan 52 inisiatif berjumlah RM64.09 kepada rakyat Negeri Sembilan dalam Belanjawan Tahun 2022.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, belanjawan bertema ‘Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat’ menggariskan tiga strategi yang akan direalisasi melalui 52 inisiatif yang merangkumi 40 inisiatif sedia ada dan 12 inisiatif baharu dengan memfokuskan kepada lapan bidang tumpuan iaitu Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Institusi Adat dan Pentadbiran.

1. Ekonomi Rakyat

Dalam fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19, tumpuan harus diberikan kepada penjanaan pendapatan rakyat terutama melalui aktiviti perniagaan kecil dan sederhana.

Penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan perlulah digalakkan melalui usaha mengupayakan keusahawanan, memperkukuh kegiatan usahawan tani dan nelayan serta menyediakan prasarana kegiatan ekonomi di samping meningkatkan semula penglibatan rakyat dalam pasaran guna tenaga.

Untuk itu, sebanyak RM15.70 juta diperuntukkan dengan pelaksanaan 12 inisiatif.

2. Pendidikan

Bidang pendidikan akan terus diberi tumpuan dengan fokus kepada memperkasa pengembangan pendidikan, menambah baik infrastruktur dan tadbir urus institusi pendidikan.

Sebanyak RM8.5 juta diperuntukkan di bawah bidang keutamaan ini dengan pelaksanaan 7 inisiatif.

3. Kebajikan

Inisiatif yang akan dilaksanakan melalui bidang kebajikan ini merupakan legaan (relief) kepada rakyat bagi meringankan bebanan yang ditanggung. Antara usaha yang dilaksanakan adalah penyediaan bantuan sektoral dari segi kesihatan dan keperluan am serta memberikan perlindungan insurans.

Sebanyak RM3.68 juta diperuntukkan di bawah Bidang Tumpuan ini yang merangkumi 7 inisiatif.

4. Pemerkasaan Komuniti

Agenda pemerkasaan komuniti terus diperkasakan agar semua masyarakat terangkum dan tiada yang terpinggir. Usaha pemerkasaan ini dilaksanakan melalui penambahbaikan infrastruktur komuniti, meluaskan kemudahan rakyat dan menggiatkan aktiviti komuniti dengan program berasaskan masyarakat (community based program) yang akhirnya akan diterjemahkan kepada kesejahteraan dan kesepakatan komuniti.

Sebanyak RM21.68 juta diperuntukkan di bawah bidang keutamaan ini bagi membiayai 11 inisiatif yang terdiri daripada Desa Muafakat NS, Program Rumah Harapan Rakyat, penyelenggaraan perumahan awam dan swasta, geran kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC), bas percuma, pelaksanaan bas luar bandar, Wi-Fi komuniti percuma, geran aktiviti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan belia MPKK serta ERAT@NS.

5. Belia dan Wanita

Bidang tumpuan ini adalah usaha untuk memperkasa belia dan memartabatkan wanita.

Untuk itu, sebanyak RM5.11 juta diperuntukkan bagi program dan aktiviti pembangunan serta kebajikan para belia dan wanita melalui pemberian geran dan bantuan.

6. Kerohanian dan Agama

Kerajaan Negeri akan terus memperkasa syiar Islam di negeri ini melalui pelbagai inisiatif dan program kerohanian bagi melahirkan khaira ummah.

Sebanyak RM5.32 juta disediakan untuk memperkasa syiar Islam dan pelaksanaan aktiviti bagi hal ehwal bukan Islam.

7. Institusi Adat

Kerajaan Negeri komited untuk memartabatkan keunikan adat dan keistimewaan budaya tradisi negeri ini.

Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program adat dan pemuliharaan bangunan / rumah warisan.

8. Pentadbiran

Bagi menambah baik kualiti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan bagi meluaskan pelaksanaan agenda tadbir urus digital (digital governance).

“Kerajaan Negeri telah menyusun perancangan untuk tahun hadapan melalui Belanjawan 2022.

“Diharapkan semua rakyat negeri ini mengambil peluang atas tawaran dan inisiatif yang telah dirancang.

“Semua agensi dan jabatan kerajaan akan menjadi pemudah cara dan membantu rakyat untuk mendapatkan tawaran dan inisiatif yang telah disediakan,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban sebentar tadi.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

Show More

Related Articles

Back to top button