Berita

Bakri mahu mengukuhkan Amanah Jelebu

KLAWANG: Ketua Amanah Kawasan Jelebu, YB Dato’ Bakri Sawir mahu memberi tumpuan dan mengukuhkan Amanah Kawasan Jelebu, walaupun dicadang supaya bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Pusat.

“Saya tidak berhasrat bertanding jawatan itu dalam pemilihan Konvensyen Nasional Amanah pada 22 hingga 24 Disember ini.

“Sebaliknya saya mahu memberi tumpuan dan mengukuhkan Amanah Kawasan Jelebu terlebih dahulu.

“Pengukuhan parti di peringkat kawasan adalah sangat penting dan ia perlu dibuat dengan penuh bersungguh-sungguh sekaligus ia adalah tanggungjawab seorang ketua kawasan,” kata Bakri.

Menurut Bakri lagi, beliau diminta untuk bertanding sebagai AJK Amanah Pusat, namun selepas memikirkan semasak-masaknya beliau menolak pelawaan itu dengan baik.

“Belum sampai masanya untuk saya pergi ke peringkat nasional, biarlah saya kukuhkan parti terutama melakukan ‘pembersihan’ dalaman yang sebelum ini menggugat keharmonian parti,” ujarnya.

Bakri berkata fokus utamanya termasuk mengukuhkan cawangan parti selepas ada yang tidak aktif.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang berkata, ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri sebaik Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kerajaan Negeri pada 2018 dan selepas itu ada pemilihan parti, beliau tidak mahu mengekalkan jawatan sebagai ketua Amanah Jelebu kerana mahu memberi fokus sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Ketika ditinggalkan ada 31 cawangan, bagaimanapun sekarang ini hanya tinggal 21 cawangan yang aktif malah sehingga kini hanya 12 cawangan sahaja yang sudah bermesyuarat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang mencadangkan saya bertanding jawatan AJK Amanah Pusat dan akan menerima tawaran untuk bertanding pada masa akan sebaik pengukuhan parti peringkat kawasan berjaya dilaksanakan,” kata Bakri.

Show More

Related Articles

Back to top button