Berita

Bantu penagih dadah jalani kehidupan normal: Aminuddin

SEREMBAN: Pada tahun 2019, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah mengumumkan Projek Penghijauan Felda Sungai Kelamah daripada Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) sebagai kawasan dadah terkawal.

Projek tersebut berjaya direalisasikan apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), mengumumkan bahawa Felda Sungai Kelamah sebagai kawasan hijau pada Mac 2022.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri kini fokus kepada dua KBT baru iaitu Ampangan dan Rompin, Jempol.

“Dadah boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan dan melakukan tindakan yang agresif.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua agar membantu individu yang kita ketahui mempunyai masalah penyalahgunaan dadah tampil untuk mendapatkan rawatan dan menjalani pemulihan secara sukarela.

“Hal ini kerana tujuan pelaksanaan projek ini adalah untuk memastikan mereka menerima program rawatan dan pemulihan serta dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain,” kata Aminuddin di Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES).

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyampaikan anugerah serta watikah pelantikan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin serta anggota masyarakat yang memainkan peranan dalam peperangan terhadap najis dadah di Negeri Sembilan.

“Semoga kita semua terus memainkan peranan dalam menyedarkan masyarakat tentang bahayanya najis dadah terhadap negara, Insya Allah,” ujar beliau.

Foto: Nabil Syafiq

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button