Bantuan ‘tablet’ melancarkan PdPR pelajar kurang kemampuan,” Gunasekaren
SEREMBAN JAYA: ADUN Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren berkata, pemberian ‘tablet’ (peranti pintar) percuma kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan, melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
Gunasekaren berkata, inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun haruslah dipuji kerana ia sangat membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dalam mengikuti PdPR.
“Menghadapi pandemik Covid-19, kelas pengajaran membabitkan sekolah rendah, sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi diadakan secara online (atas talian).
“Justeru, kemudahan peralatan komunikasi dan teknologi seperti ‘tablet’ sangat diperlukan oleh pelajar untuk mengikuti kelas secara online.
“Semoga inisiatif ini dapat membantu para ibubapa dalam memastikan anak mereka dapat mengikuti PdPR secara online dengan lebih baik dan sempurna,” kata Gunasekaren.
Gunasekaren berkata, setiap DUN diperuntukkan sejumlah 120 unit tablet untuk diagihkan kepada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi dari keluarga yang berpendapatan rendah.
“Untuk DUN Seremban Jaya, sebanyak 120 unit ‘tablet’ sedang diagihkan secara berperingkat-peringkat bagi mematuhi SOP pandemik Covid-19,” jelasnya.