Beberapa pendekatan tangani masalah banjir di Nilai: Arul Kumar
NILAI: ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar menggariskan beberapa pendekatan untuk menangani masalah banjir kilat di Pekan Nilai.
Arul Kumar berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada awal tahun hadapan akan menaiktaraf Kolam Tadahan Air Desa Jasmin untuk membolehkan semaksimum air ditakung di situ sebelum dikeluarkan secara berperingkat ke Sungai Sekah.
Ini akan mengurangkan pengaliran air terus ke Pekan Nilai dan sekaligus dapat mengurangkan risiko banjir di Pekan Nilai.
“Satu lagi punca berlakunya banjir di kawasan Pekan Nilai adalah pertembungan Sungai Batang Nilai dan Sungai Sekah di Sungai Batang Labu.
“Sungai Batang Labu adalah sungai yang besar dan apabila berlaku hujan lebat, Sungai Batang Labu itu sendiri tidak mampu untuk menampung air hujan yang banyak dan menyebabkan air dari Pekan Nilai melalui Sungai Sekah dan berlaku banjir di Pekan Nilai.
“JPS telah memaklumkan kerja-kerja menaiktaraf Sungai Batang Labu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan akan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko banjir,” jelas Arul Kumar.
Arul Kumar berkata, JPS juga akan melaksanakan beberapa kerja di Sungai Batang Nilai bersebelahan dengan Taman Ros Merah untuk menghalang air sungai tersebut memasuki kawasan perumahan tersebut.
Beberapa paip dan kabel utiliti yang menghalang aliran air di jambatan hadapan Public Bank Nilai juga telah diminta untuk dialihkan oleh syarikat utiliti.
“Saya juga telah meminta kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan di hadapan barisan kedai di Pekan Nilai supaya dapat mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut.
“Diharapkan semua tindakan yang diambil ini dapat dilaksanakan segera untuk mengatasi masalah ini yang telah berlaku sejak lebih 10 tahun,” ujar Arul Kumar.
Arul Kumar berkata demikian selepas lawatan tinjauan ke lokasi banjir bersama Datuk Bandar MBS, Tuan Dato’ Masri Razali; Setiausaha MBS, Tuan Mas Midyawan Yahya; pegawai dari MBS, JPS, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Ahli MBS dan Pengerusi MPKK pada Khamis.