Berita

Ziarah Kasih BAKRIYAH santuni golongan yang memerlukan

RANTAU: Penyelaras DUN Rantau, Tuan Husin Haroon telah mengiringi Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ismail Ahmad dan isterinya Datin Selamah Sulaiman dalam program Ziarah Kasih BAKRIYAH Negeri Sembilan di DUN Rantau.

Husin berkata, Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH) memberikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan dapur kepada lima individu yang memerlukan.

“Individu yang menerima sumbangan ini ialah Encik Ramasamy, 71, dari Taman Bunga Raya. Beliau mengidapi penyakit Parkinson. Puan Woo Yoke Sang, 85, dari Taman Mawar pula seorang warga emas yang kurang berkemampuan.

“Encik Ahamad Hamid, 83, dari Kampung Seliau telah hilang penglihatan kedua-dua matanya sejak dua tahun lalu akibat kerosakan saraf.

“Cik Fatini Shafiqah Md Fairuz, 23, dari Kampung Seliau pula telah kehilangan sebelah kaki dan masih dalam rawatan akibat kemalangan jalan raya 10 bulan yang lalu.

“Akhir sekali kami menziarahi seorang asnaf, Puan Zainab Ibrahim, 61, dari Kampung Pasir Linsum,” kata Husin.

Hadir sama isteri kepada Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Datin Saeiah Tarmizi dan Ketua Wanita KeADILan Negeri Sembilan, Puan Amni Idris.

Sementara itu, Ismail mengadakan satu perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi MPKK DUN Rantau di Pejabat Penyelaras DUN Rantau.

Ismail berkata, dalam perjumpaan ini beliau telah menyampaikan maklumat penting berkaitan pengurusan MPKK yang berhubungkait dengan pembangunan luar bandar.

“Saya berharap MPKK dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin kepada masyarakat setempat tanpa mengira bangsa dan parti,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button