MOHD FAUZI FADZIL: YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan mengambil langkah yang bijak dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2023 apabila lebih menumpukan isu pembinaan jati diri dan keperluan dalam konteks pembangunan belia.
Belanjawan Negeri Sembilan 2023 yang terhad (hampir separuh daripada Belanjawan Selangor 2023) difokuskan untuk membangunkan belia berdasarkan pepatah “Kalau keruh air dihulu, sampai ke muara keruh jua. Kalau kurik induknya, rintiklah anaknya”.
Fokus terhadap jati diri belia dapat dilihat apabila Kuala Pilah, Paroi dan Port Dickson mendapat peruntukan khas bagi membangunkan fasiliti pejabat, kompleks dan pusat dakwah Islam. Inisiatif ini dilihat penting pasca pendemik Covid-19 yang menyaksikan kes bunuh diri akibat tekanan kehidupan meningkat sehingga melibatkan masyarakat Melayu-Muslim.
Melalui fasiliti yang dibangunkan maka diharapkan program bermanfaat bagi mengisi kekosongan dalam diri belia dapat laksanakan pada tahun 2023.
Berpandukan kepada kiasan “Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah” maka Kerajaan Negeri Sembilan tidak melupakan pembentukan jatidiri belia melalui penerapan adat. Zaman moden memerlukan pengenalan adat kepada golongan belia dilakukan menggunakan platform pesta.
Perpatih Fest 2023
Justeru kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan satu acara khas pada skala besar iaitu Perpatih Fest pada tahun 2023. Inisiatif ini merupakan tayangan adat Negeri Sembilan yang akan mempromosi keunikan sistem adat Perpatih kepada pihak luar khususnya dalam kalangan golongan belia.
Menjadi harapan supaya pesta tersebut menjadi pintu awal untuk membuka minat golongan belia untuk terus meneroka khazanah adat di Negeri Sembilan.
Kejayaan Pesta Bola Ngoca pada tahun 2021 adalah satu keputusan yang tepat apabila penganjuran sukan rakyat dan pertandingan bola sepak sawah mula dipromosikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Penganjuran pesta ini dilihat dapat menjadi platform serampang dua mata jika ia berjaya dilaksankan secara berterusan, ia bukan sahaja mampu memperkenalkan sukan rakyat kepada golongan belia malah ia juga mampu meningkatkan tahap keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Negeri Sembilan.
Mohd Fauzi Fadzil
Exco Majlis Belia Malaysia