DUN Negeri Sembilan bubar 1 Julai ini
SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada 1 Julai (Sabtu) ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 diadakan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah mengadap DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pagi tadi, bagi mendapatkan perkenan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14.
“Alhamdulillah, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan tarikh pembubaran DUN Negeri Sembilan iaitu pada 1 Julai 2023.
“Ini adalah selaras dengan kuasa yang diperuntukan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Saya mohon pihak pejabat Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan dapat menyegerakan pemakluman rasmi tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang ke-14 ini kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bagi memberi ruang Pilihanraya Negeri diadakan serentak dengan lima Dewan Undangan Negeri lain.
“Sementara itu, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan berfungsi sebagai kerajaan interim atau caretaker di mana segala fungsi Kerajaan Negeri akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan kekal efisien,” kata Aminuddin dalam sidang media di Wisma Negeri sebentar tadi.