Berita

Geran RM1,000 dan bantuan sara hidup untuk pelajar KAYNS

Bantuan sara hidup RM100 setiap bulan

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengumumkan semua pelajar di Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (KAYNS) dari kalangan anak Negeri Sembilan akan dianugerahkan geran sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, mereka juga akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM100 seorang untuk setiap bulan (bermula dari awal sehingga tamat pengajian mereka).

Anak Negeri Sembilan yang layak menerima insentif ini ialah mereka yang mendaftar di KAYNS mulai 1 Ogos 2021. Pembiayaan pengajian turut disediakan dalam bentuk tajaan dan pinjaman.

“Bagi anak-anak Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan akan sediakan pinjaman pembiayaan sepenuhnya melalui Yayasan Negeri Sembilan. Bagi anak-anak asnaf pula, tajaan sepenuhnya akan disediakan untuk mereka.

“Menyedari keperluan menyediakan anak-anak muda memperkasakan diri dengan bidang ilmu dan ketrampilan dalam pelbagai bidang kemahiran bersesuaian dengan era Revolusi Industri 4.0; Kerajaan Negeri mempelawa anak-anak Negeri Sembilan melanjutkan pengajian mereka ke institusi latihan kemahiran milik Kerajaan Negeri Sembilan iaitu KAYNS,” katanya.

Program futuristik akan diperkenalkan

Aminuddin berkata, institusi ini telah beroperasi sejak 22 Julai 1993, menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di peringkat Sijil dan Diploma di bawah pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

“Ribuan graduan institusi ini, telah pun mencapai kejayaan dan kecemerlangan tinggi dalam kerjaya masing-masing.

“Kampus baru sedang pesat dibina dan dijangka siap serta sedia digunakan mulai Februari 2022.

“Ruang kapasiti untuk pelajar baru akan bertambah, suasana belajar akan lebih kondusif dan iklim sekitar yang lebih selesa.

“Kualiti tenaga pengajarnya berterusan dipertingkatkan. Program-program yang bersifat futuristik akan diperkenalkan,” jelas Aminuddin yang juga Pengerusi Yayasan Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button