BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan tambah baik perkhidmatan di Pejabat Tanah dan Galian

SEREMBAN: Kaunter Pendaftaran Pejabat Tanah dan Galian (PTGNS) di Wisma Negeri menerima jumlah pelanggan yang tinggi sejak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah pelanggan yang tinggi menyebabkan kesesakan sehingga wakil pejabat peguam, syarikat agensi mahupun orang perseorangan beratur sejak awal pagi bagi mendapatkan nombor giliran.

“Sehubungan dengan itu, bagi menambah baik perkhidmatan, PTGNS menggunakan kaedah janji temu khusus untuk firma guaman/juru ukur/penilai swasta/pemaju/agensi swasta dan kaedah walk-in bagi individu.

“Pendekatan ini perlu bagi mengelakkan keadaan sesak yang terdedah kepada risiko jangkitan wabak Covid-19 yang masih menular.

Penyediaan kawasan menunggu sementara yang lebih tersusun juga telah disediakan bagi memastikan pelanggan mematuhi SOP penjarakan,” katanya.

Aminuddin menjelaskan pelaksanaan janji temu ini melibatkan:

i. Wakil peguam/syarikat/juru ukur/penilai swasta dihadkan kepada 40 giliran pada hari Isnin hingga Khamis dan 28 giliran pada hari Jumaat.

ii. Individu juga dihadkan kepada 40 giliran pada hari Isnin hingga Khamis manakala pada hari Jumaat pula 30 giliran sahaja.

iii. Satu firma guaman hanya dibenarkan membuat satu janji temu sehari, terhad kepada lima serahan dan setiap serahan terhad kepada 10 hak milik.

iv. Ini bermakna, setiap hari 200 serahan yang melibatkan sehingga 2,000 hak milik daripada firma guaman akan diproses.

v. Perkhidmatan carian rasmi/persendirian dan kutipan hak milik boleh dibuat semasa mendapat giliran.

vi. Permohonan janji temu adalah melalui e-mel di alamat: pendaftaranPTGNS@gmail.com dan maklumat lengkap tentang peraturan ini boleh disemak dan dirujuk melalui laman sesawang rasmi dan Facebook rasmi PTGNS.

Keadaan akan kembali normal menjelang November 

Menurut Aminuddin lagi, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan juga dalam proses menempatkan tambahan pegawai dan staf di PTGNS dalam tempoh sebulan dengan menempatkan sementara pegawai berkaitan dari Pejabat Tanah dan Daerah yang lain bagi membantu menyelesaikan tugas-tugas yang tertunggak dan dokumen harian yang bertambah.

“Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk mengatasi situasi ini dan menjangkakan keadaan semasa akan kembali reda menjelang bulan November ini.

“Pada masa yang sama, pendekatan yang lebih efisien juga sedang diteliti dan dibangunkan termasuk urusan dalam talian dan transaksi tanpa sentuh (contactless transaction).

“Cadangan penyediaan peti penyerahan dokumen juga sedang dikaji bagi memastikan pelaksanaannya tidak akan menyulitkan pelanggan seperti dokumen tercerai, hilang dan sebagainya,” jelas Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button