Berita

Gunasekaren terima diploma pada usia 64 tahun

Mahu sambung pengajian di peringkat ijazah pula

SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, YB P.Gunasekaren membuktikan usia bukan halangan untuk menimba ilmu.

Gunasekaren menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam Operasi dan Pentadbiran Kerja Sosial pada Majlis Konvokesyen Pensijilan Kemahiran Malaysia di Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 28 Mei 2023.

“Sebagai pemimpin saya sangat sibuk dengan kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan sampai tidak ada masa sambung belajar. Saya selalu beri keutamaan kepada isu dan masalah rakyat.

“Sudah enam kali bertanding di pilihan raya, tiga kali saya kalah (1995, 1999, 2004), tapi pada tahun 2008 saya menang disusuli 2013 dan 2018.

“Sebelum ini saya tidak ada sebarang sijil atau diploma yang boleh direkodkan dalam pencapaian akademik.

“Namun, saya bernekad untuk belajar dan hari ini saya gembira kerana berjaya menggenggam segulung diploma seperti yang diimpikan,” kata Gunasekaren.

Gunasekaren berkata, beliau bersyukur kerana impian sekian lama akhirnya tercapai dalam usia 64 tahun dan ia sekaligus memberi suntikan untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah pula.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi semangat dan tunjuk ajar,” ujarnya.

Perasmian Majlis Konvokesyen Pensijilan Kemahiran Malaysia disempurnakan oleh Penasihat Persatuan Pembangunan TVET Nasional (PPTN), Datuk Seri Dr.Baharuddin Abu dan turut dihadiri Pengerusi PPTN, Mohamad Yaacob.

Show More

Related Articles

Back to top button