Berita

Pekerja Ladang Kirby ditawarkan rumah bernilai RM80 ribu dengan harga RM36 ribu

Kerajaan PH Negeri Sembilan tanggung subsidi RM44 ribu untuk setiap 36 bekas pekerja ladang dengan jumlah subsidi RM1.584 juta

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan bersetuju untuk menjual rumah kos rendah bernilai RM80,000 dengan harga RM36,000 kepada 36 bekas pekerja Ladang Kirby, di Labu dekat sini.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, YB Arul Kumar Jambunathan berkata, Kerajaan Negeri akan menanggung subsidi sebanyak RM44,000 untuk setiap bekas pekerja ladang bagi tujuan pembelian rumah tersebut.

“Secara keseluruhannya Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan memperuntukkan subsidi sebanyak RM1.584 juta bagi membantu bekas pekerja Ladang Kirby memiliki rumah sendiri.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menanggung bayaran sewa RM500 sebulan selama dua tahun kepada 13 keluarga (penerima rumah kos rendah) yang masih menetap di dalam kawasan pembinaan projek perumahan agar mereka boleh berpindah ke rumah sewa dalam kadar segera.

“Saya berharap kesemua 13 keluarga ini dapat menerima tawaran ini dan dapat berpindah dalam kadar segera untuk membolehkan projek ini dimulakan dengan segera dan disiapkan dalam masa 18 bulan,” jelas Arul Kumar.

Arul Kumar yang juga ADUN Nilai, berkata demikian kepada Negeri Kita selepas menyerahkan notis kepada pekerja Ladang Kirby yang menetap di dalam kawasan projek perumahan petang kelmarin.

Show More

Related Articles

Back to top button