BeritaMenarik

Jalaluddin mahu membangunkan kawasan luar bandar Negeri Sembilan

KUALA KLAWANG: Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan memberi fokus kepada projek-projek pembangunan baharu dan sedia ada menerusi Belanjawan 2024 yang memperuntukkan sejumlah RM555 juta.

EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perbelanjaan belanjawan itu juga membabitkan program khidmat dan kesejahteraan masyarakat, kerja-kerja kecil kampung, pembangunan modal insan dan Skim Sejahtera Rakyat.

“Atas asas ini, saya bersama wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan di bawah Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Luar Bandar Negeri Sembilan duduk semeja membuat perancangan dan perbincangan terperinci bagi memaksimakan sentuhan kepada rakyat untuk tahun depan.

“Keluasan luar bandar di Negeri Sembilan merangkumi keluasan 77 peratus dengan 163 mukim.

“Justeru itu, kita perlu majukan pembangunan strategik dan pada masa sama kita harus kekalkan kesejahteraan luar bandar,” katanya ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Peladangan dan Komoditi Negeri Sembilan di Kompleks Pejabat Daerah Jelebu di sini.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, tumpuan juga harus diberi terhadap proses urus tadbir kampung, program berimpak tinggi selain penglibatan belia di desa atau kampung yang perlu dipergiatkan.

Katanya terdapat empat bidang fokus utama untuk kawasan luar bandar di Negeri Sembilan yang merangkumi pembangunan ekonomi berdaya maju, penambahbaikan penyediaan infra, peningkatan keupayaan komuniti dan pengukuhan kesejahteraan komuniti.

“Kita mahu memastikan setiap duit rakyat yang diperuntukkan akan memberi nilai berganda kepada ‘perut dan poket rakyat’ di negeri kita, terutama mereka yang berada di luar bandar.

“Insyah Allah Kerajaan Negeri akan bekerja keras untuk mereformasi ekonomi, memperkasa rakyat luar bandar dan membina sebuah Negeri Madani contoh di negara ini,” ujar Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu.

Show More

Related Articles

Back to top button