Berita

Jalan Kampung Gagu – Ulu Beranang dekatkan masa perjalanan ke Nilai dan Kuala Lumpur

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan tender balak di Hutan Simpan Lenggeng dan Hutan Simpan Gapau, bagi membolehkan pembinaan jalan baharu sepanjang 14 kilometer dari Kampung Gagu, Jelebu ke Ulu Beranang/Lenggeng.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin berkata, projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada Jabatan Kerja Raya pada 27 November 2017.

“Pendengaran Awam telah diadakan di Dewan D’Sury, Jelebu pada 1 Mac 2021 dan penduduk tempatan menyokong projek ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 17 Februari 2021 dan 10 Mac 2021 setelah mengambil kira semua aspek dan komponen berdasarkan maklumat, perincian dan ulasan daripada agensi berkaitan serta hasil dapatan sesi pendengaran awam yang telah dibuat.

“Kerajaan Negeri memaklumkan agar mengambil kira pandangan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan berhubung keperluan laluan hidupan liar dan alam sekitar,” kata Aminuddin di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Susulan daripada itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan telah memaklumkan kepada pihak JKR NS mengenai beberapa pandangan dan syor berikut:

1. Meminimumkan pembukaan dan perentasan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu HSK Gapau dan HSK Lenggeng melalui penelitian semula cadangan jajaran dan kelebaran jalan serta rizab kiri dan kanan jalan;

2. Menyediakan kawasan lintasan hidupan liar (viaduct) bagi memastikan perancangan Pelan Tindakan Central Forest Spine (CFS) Negeri Sembilan tidak terjejas;

3. Mengemukakan pelan projek yang lengkap, Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang diluluskan dan kelulusan daripada agensi-agensi yang berkaitan sebelum sebarang pembukaan dalam HSK dilaksanakan;

4. Memastikan kerja-kerja tanah di dalam HSK hanya akan dimulakan setelah mendapat kelulusan Laporan EIA dan apa-apa laporan atau dokumen berkaitan yang diperlukan dengan kebenaran pejabat ini;

5. Bagi kerja-kerja pengeluaran kayu dari kawasan yang terlibat iaitu seluas lebih 94.66 hektar akan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan ini bagi tujuan kawalan dan dilaksanakan secara tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri.

Aminuddin berkata, tawaran tender ini tidak bercanggah dengan Dasar Kerajaan Negeri iaitu tiada sebarang kelulusan baharu bagi aktiviti pengusahasilan dalam hutan simpanan kekal kerana tawaran tender ini adalah untuk memberi laluan kepada projek pembinaan jalan yang akan memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan.

“Apabila jalan ini siap, ia akan mendekatkan masa perjalanan penduduk Jelebu ke Nilai, Kajang dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button