Berita

Kedudukan Aminuddin sebagai menteri besar kekal dan jelas

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PH) masih mendapat kepercayaan dan menerima sokongan ADUN Pakatan Harapan untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Sembilan.

Pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini; ADUN Chennah, YB Loke Siew Fook (PH) meminta pengesahan daripada Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar, bahawa adakah Zulkefly menerima surat daripada mana-mana ADUN Pakatan Harapan yang menarik balik sokongan ke atas Aminuddin.

Zulkefly mengesahkan, beliau tidak menerima sebarang surat berkaitan perkara tersebut.

“Jawapan itu memberikan satu mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat, bahawa kedudukan YAB Sikamat (Aminuddin) jelas.

“Beliau masih ada majoriti dan sokongan dalam dewan yang mulia ini, untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Sembilan.

“Selagi YAB Sikamat mempunyai sokongan majoriti dalam dewan, kedudukan beliau sebagai menteri besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Saya mengajak seluruh ADUN Kerajaan untuk sama-sama mendokong dan menyokong memberikan kerjasama sepenuhnya kepada YAB Sikamat untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh,” kata Loke.

Terlebih dahulu Loke berkata, beliau ditanya oleh seorang wartawan pada pagi tadi; selepas berlakunya pertukaran perdana menteri baru-baru ini, apakah akan berlaku pertukaran menteri besar.

Show More

Related Articles

Back to top button