Berita

Kerajaan Negeri belanja RM23.12 juta bantu rakyat terkesan Covid-19

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah membelanjakan RM23.12 juta bagi tujuan kesejahteraan rakyat sewaktu tempoh Covid-19 bagi tahun 2021.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, Kerajaan Negeri telah melaksana beberapa skim bantuan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Antara bantuan Covid-19 yang telah disalurkan sepanjang tahun 2021 adalah seperti berikut:

1. Bantuan bakul makanan dan keperluan asas dengan peruntukan RM5 juta yang memanfaatkan lebih 50,000 keluarga.

2. Pengecualian sewa gerai PBT bulan Januari, Februari, Jun dan Julai dengan peruntukan RM2.187 juta bagi manfaat 6,115 gerai dan pasar.

3. Bantuan kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dengan jumlah peruntukan RM116,000 (RM1,000/keluarga).

4. Bantuan Khas one-off peniaga/penjaja tanpa premis dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta.

5. Pengecualian bayaran sewa PPR di bawah Kerajaan Negeri bagi bulan Jun, Julai, Ogos dan September. Inisiatif ini melibatkan 474 penyewa rumah PPR dengan kos RM284,400 serta 2,647 penyewa perumahan awam Kerajaan Negeri dengan kos RM1.362 juta.

6. Bantuan kehilangan pekerjaan secara one-off dengan jumlah peruntukan RM3 juta yang memanfaatkan 10,000 orang.

7. Bantuan alat peranti PdPR sebanyak 4,470 peranti dengan jumlah peruntukan RM2.3 juta.

8. Pembelian tangki oksigen bagi kegunaan hospital Covid-19 dengan perbelanjaan RM500,000.

9. Dana kesejahteraan rakyat menerusi Pusat Khidmat Rakyat dengan peruntukan RM5.6 juta.

10. Bantuan tunai one-off kepada Persatuan Pelancongan Peringkat Negeri sebanyak RM2,000.

Bantuan ini memanfaatkan hampir 20 buah persatuan yang berdaftar di Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40,000.

11. Bantuan tunai one-off sebanyak RM2,000 kepada Pengurusan Rumah Inap atau Homestay yang masih aktif dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM14,000.

12. Bantuan tunai one-off kepada Pemandu Pelancong Negeri Sembilan yang berdaftar dengan pihak MOTAC sebanyak RM250 yang akan memanfaatkan sejumlah 91 orang Pemandu Pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Sembilan (NSTGA).

Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM22,750.

13. Diskaun atau rebat Cukai Taksiran bagi segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi penggal kedua tahun 2021.

Insentif ini dijangka melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM1.51 juta.

14. Diskaun atau rebat bagi Fi atau Lesen Perniagaan segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi tahun 2022.

“Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri lebih RM123,000.

“Kedua-dua diskaun dan rebat ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 150 buah hotel dan penginapan di seluruh Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata demikian, bagi menjawab soalan lisan dari beberapa ADUN Pakatan Harapan dan BN di Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini.

Aminuddin ditanya apakah langkah dan perancangan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu masyarakat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Show More

Related Articles

Back to top button