Tengku Zamrah turun padang, kebajikan mangsa banjir kilat diberi keutamaan

AMPANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menunjukkan keprihatinan tinggi apabila bertindak pantas turun ke lapangan sejurus menerima laporan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di DUN Ampangan susulan hujan lebat berterusan.
Tengku Zamrah berkata, antara kawasan terjejas dikenal pasti melibatkan Kampung Ismail, Kampung Bahagia Jiboi dan Blok B Sungai Landak, dengan anggaran hampir 20 buah rumah terkesan akibat limpahan air secara tiba-tiba.
“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Ampangan segera ke lokasi bagi menilai situasi sebenar serta menyelaras tindakan bantuan kecemasan kepada penduduk terlibat.
“Antara tindakan segera yang telah dilaksanakan ialah pengagihan bantuan makanan kepada keluarga terjejas, selain memastikan kebajikan penduduk diberi perhatian sewajarnya.
“Beberapa laluan yang terhalang akibat pokok tumbang berjaya dibersihkan hasil kerjasama erat antara JPKK DUN Ampangan dan Ampangan Rescue Team, sekali gus memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penduduk setempat,” kata Zamrah.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas serta pemantauan berterusan bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.
“Alhamdulillah, hasil kerjasama semua pihak, situasi berjaya dikawal dengan baik dan bantuan dapat disalurkan dengan segera tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JPKK DUN Ampangan, Ampangan Rescue Team serta agensi berkaitan atas komitmen dan kecekapan dalam menguruskan situasi berkenaan,” ujar beliau.
Tegas Zamrah, kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan dan pihaknya kekal komited memastikan setiap bentuk bantuan serta tindakan susulan dilaksanakan dengan pantas, berkesan dan menyeluruh demi kesejahteraan masyarakat di DUN Ampangan.



