Cha sumbang RM20,450 kepada SK Kompleks KLIA

RASAH: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin telah menyumbang RM20,450 kepada Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA.
Cha berkata, pada tahun lepas beliau membantu sekolah memasang sistem siaraya baru di dewan sekolah dengan kos RM10,000.
“Tahun ini, saya memberikan peruntukan sebanyak RM10,450 untuk membekalkan lima set Smart TV 55 inci kepada sekolah ini.
“Semoga bantuan ini dapat membantu proses pendigitalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran anak-anak Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA,” kata Cha.
Cha berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA kali ke-27.
Dalam pada itu Cha turut berkongsi pengalaman beliau ditegur oleh sesetengah pihak kerana membantu sekolah ini.
“Saya pernah ditegur kerana membantu sekolah ini, kerana mereka ingat sekolah ini terletak di dalam negeri Selangor.
“Sebenarnya sekolah ini terletak di dalam kawasan Parlimen Rasah (Negeri Sembilan).
“Malah 90 peratus muridnya memang penduduk Rasah,” jelas Cha.