
SRI TANJUNG; Apabila Jalur Gemilang berkibar megah, ia mengingatkan kita bahawa keamanan, kemakmuran, dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini bukanlah datang dengan mudah.
Justeru itu, sempena Bulan Kemerdekaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr. G. Rajasekaran telah turun padang mengagihkan bendera kepada para peniaga tempatan di sekitar Port Dickson.
Beliau berkata, sambutan dan semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh para peniaga amatlah membanggakan.
“Saya menyeru kepada semua untuk bersama-sama menjayakan aspirasi 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
“Hiasilah kediaman dan premis perniagaan masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan ini sebagai lambang perpaduan serta kecintaan kepada negara.
”Sama-samalah kita mengangkat Jalur Gemilang sebagai simbol penyatuan bangsa yang memperkukuhkan semangat Malaysia MADANI.
“Inilah simbol yang mempertahankan kedaulatan negara dan membina sebuah Malaysia yang lebih makmur, berdaya saing, serta disegani di persada dunia,” kata Rajasekaran.
Menurut Rajasekaran lagi, kemerdekaan dicapai melalui keringat, pengorbanan, air mata, dan darah para pejuang, anggota keselamatan, penjawat awam, serta seluruh rakyat yang meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri.




