Berita

Terima kasih, Negeri Sembilan…saya datang dengan amanah, saya pulang dengan kenangan dan doa

AMINUDDIN HARUN

Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan.

Saya menerima keputusan ini dengan hati yang reda dan penuh keinsafan.

Dalam setiap ketentuan Allah SWT pasti ada hikmah yang lebih besar daripada apa yang mampu kita lihat hari ini.

Terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Terima kasih juga kepada semua yang telah memberikan sokongan, doa, teguran dan kasih sayang sepanjang perjalanan ini.

Semasa berkempen, saya tidak hanya melihat angka dan undi.

Saya melihat wajah-wajah yang penuh harapan, anak muda yang bercita-cita tinggi, ibu bapa yang berjuang demi keluarga, warga emas yang tidak putus-putus menitipkan doa, serta anak-anak kecil yang menyambut dengan senyuman yang begitu ikhlas.

Itulah kenangan yang akan saya bawa pulang, jauh lebih berharga daripada apa jua keputusan.

Sesungguhnya, saya berasa amat bertuah kerana diberi peluang memimpin Negeri Sembilan.

Menjadi Menteri Besar bukan sekadar satu jawatan, tetapi satu amanah yang saya cuba pikul dengan seikhlas hati dan sebaik kemampuan yang Allah SWT kurniakan.

Saya tidak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya.

Namun saya berharap sepanjang memegang amanah ini, rakyat akan mengingati bahawa saya telah berusaha sedaya upaya untuk berlaku adil, bekerja dengan ikhlas, dan meletakkan kepentingan Negeri Sembilan mengatasi segala-galanya.

Jika ada kebaikan yang dirasai, itu datang dengan izin Allah SWT dan hasil usaha bersama seluruh warga pentadbiran serta rakyat Negeri Sembilan. Jika ada kekurangan, saya memohon ampun dan maaf.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya kepada kepimpinan yang telah diberikan amanah oleh rakyat.

Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kebijaksanaan dalam memimpin negeri yang kita cintai ini.

Perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak berakhir dengan satu pilihan raya.

Selagi Allah SWT mengizinkan, Insya-Allah saya akan terus menyumbang dengan apa sahaja kemampuan yang ada.

Doa saya hanya satu. Semoga Negeri Sembilan sentiasa dipelihara Allah SWT, dipenuhi keberkatan, keamanan dan kemajuan.

Terima kasih, Negeri Sembilan.

Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun
Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button