Suhaimizan terima kunjungan Klinik Kesihatan Gemencheh

GEMENCHEH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar, menerima kunjungan hormat daripada pihak Klinik Kesihatan Gemencheh serta Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah.
Menurut Suhaimizan, pertemuan itu menjadi ruang untuk kedua-dua pihak saling mengenali, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan dalam usaha memperkukuh kerjasama demi kepentingan komuniti setempat.
“Pertemuan ini menjadi medan terbaik untuk kita saling mengenali, bertukar pandangan, dan mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan berkenaan serta perkongsian pandangan yang disampaikan sepanjang pertemuan.
Katanya, jalinan kerjasama dan ukhuwah antara pihaknya dengan Klinik Kesihatan Gemencheh serta Panel Penasihat Klinik Kesihatan Daerah diharap dapat terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat.
“Semoga jalinan kerjasama dan ukhuwah ini terus berkekalan demi kesejahteraan komuniti,” katanya.



