10 Exco Negeri Sembilan Angkat Sumpah, Lengkapkan Pentadbiran Kerajaan Negeri
KUALA PILAH: Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) lengkap dibentuk hari ini selepas 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengangkat sumpah jawatan dalam Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan.
Istiadat berkenaan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN yang dilantik sebagai Exco ialah Datuk Mohd Faizal Ramli; Dato’ Zaifulbahri Idris; Dato’ Mustapha Nagoor; Siow Kong Choon; Siti Nur Umaira Hasim; Datuk Haji Mohd Asna Amin; Dato’ Mohd Razi Mohd Ali dan Suhaimizan Bizar.
Dua lagi Exco mewakili PN ialah Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim turut mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang diperkenankan pelantikan sebagai Exco serta menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas perkenan terhadap pelantikan berkenaan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Ismail berkata beliau percaya barisan Exco yang dibentuk mempunyai pengalaman, kepakaran dan komitmen untuk bersama-sama memacu pembangunan Negeri Sembilan demi kesejahteraan rakyat.
Bagi pembahagian portfolio, Datuk Mohd Faizal Ramli dilantik sebagai Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, manakala Dato’ Zaifulbahri bin Idris memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan.
Dato’ Mustapha Nagoor pula menggalas portfolio Pembangunan Belia dan Sukan, sementara Siow Kong Choon dilantik sebagai Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Siti Nur Umaira Hasim diberikan portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala Datuk Mohd Asna Amin bertanggungjawab terhadap Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital.
Dato’ Mohd Razi Mohd Ali dilantik sebagai Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, manakala Suhaimizan Bizar menggalas portfolio Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.
Dua Exco daripada PN pula, Mohd Fairuz Mohd Isa dilantik sebagai Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, manakala Datuk Razali Abu Samah memegang portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.
Sementara itu, Menteri Besar sendiri bertanggungjawab terhadap portfolio Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan FELDA.
Menurut Ismail, barisan Exco itu dibentuk berlandaskan prinsip kecekapan, integriti dan semangat kerja berpasukan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.
Beliau yakin setiap portfolio yang diamanahkan akan digalas dengan penuh tanggungjawab demi memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan.



