Tuanku Muhriz Titah Exco Baharu Utamakan Amanah, Kesejahteraan Rakyat
KUALA PILAH: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dilantik diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, adil dan profesional tanpa menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, perkara itu termasuk dalam urusan berkaitan pemberian tender dan projek kerajaan yang perlu diputuskan secara telus serta bebas daripada kepentingan individu, keluarga atau kenalan.
Baginda bertitah, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan selain menjejaskan keberkesanan dasar yang dirangka demi kepentingan rakyat.
“Seperti yang pernah beta titahkan dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tinggi atau persons of honour,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Dalam titahnya, Tuanku Muhriz menyifatkan pelantikan barisan Exco sebagai satu amanah dan cabaran besar kerana mereka bukan sahaja berperanan sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing, malah bertanggungjawab menentukan dasar serta hala tuju pentadbiran negeri.
Baginda bertitah, setiap tindakan dan keputusan kerajaan perlu berlandaskan kepentingan Negeri Sembilan serta kesejahteraan rakyat.
Menurut baginda, harapan tinggi yang diletakkan rakyat terhadap kerajaan negeri perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang cekap, telus dan berkesan.
“Pada masa sama, segala kelemahan hendaklah dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada tahap cemerlang, berintegriti dan berkesan,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan kepimpinan baharu supaya meneruskan pencapaian pentadbiran terdahulu, terutama dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan pendapatan negeri serta memperluas peluang ekonomi dan pekerjaan.
Baginda bertitah, pencapaian Negeri Sembilan dalam merekodkan nilai pelaburan yang tinggi dan peningkatan hasil negeri perlu dipertahankan, diperkukuhkan dan dipertingkatkan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.
Baginda turut menegaskan bahawa ukuran kejayaan sesebuah kerajaan bukan sekadar berdasarkan perancangan yang baik, sebaliknya bergantung kepada keupayaan merealisasikan dasar berkenaan sehingga hasilnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Mengakhiri titah, Tuanku Muhriz mendoakan agar Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan diberkati, selain semua pihak yang diberi amanah mentadbir negeri sentiasa dipandu untuk membuat keputusan secara adil dan bijaksana dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.



