Berita

56.86 peratus lepasan sekolah pilih TVET, bukti laluan semakin diyakini: Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Seramai 56.86 peratus lepasan sekolah kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membuktikan bidang itu bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, kata Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Ahli Exco Majlis TVET Negara bagi berkongsi hala tuju serta keutamaan dalam memperkasa ekosistem TVET negara.

“Alhamdulillah, hari ini 56.86 peratus lepasan sekolah telah memilih laluan TVET.

“Ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya semakin diyakini sebagai laluan utama untuk membina masa depan yang lebih baik.”

“Melalui TVET 2.0, fokus kita adalah untuk memastikan lebih ramai graduan mendapat pekerjaan bergaji premium serta melahirkan usahawan yang mampu mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.

“Itulah ukuran sebenar kejayaan yang kita mahukan,” kata Ahmad Zahid.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Ahli Exco Majlis TVET Negara yang akan menerajui portfolio strategik masing-masing.

Beliau berkata pelantikan itu membawa amanah besar dalam mencetuskan idea baharu serta memastikan agenda TVET negara terus diperkasakan sejajar dengan keperluan industri dan pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, menerusi inisiatif TVET 2.0, kerajaan memberi tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui peluang pekerjaan bergaji premium di samping melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran yang mampu mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Beliau turut berharap Ahli Exco yang baharu dilantik dapat memanfaatkan kepakaran, pengalaman serta jaringan masing-masing bagi memperkukuh ekosistem TVET negara dan melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button