Berita

Pelantikan sebagai Exco satu amanah besar – Siow Kong Choon

SEREMBAN: Pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) disifatkan sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar dalam usaha memastikan kepentingan seluruh masyarakat di Negeri Sembilan terus diberi perhatian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Kong Choon berkata, meskipun beliau dilihat sebagai wakil masyarakat Cina dalam barisan Exco negeri, tanggungjawab yang digalas adalah melibatkan semua kaum dan lapisan masyarakat.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan manifesto Barisan Nasional (BN) yang merangkumi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Saya yakin rakan-rakan Exco yang lain di bawah kepimpinan Menteri Besar tentunya akan berusaha untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional.

“Bagi saya, ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar,” katanya.

Mengulas pengalaman sebelum ini, Siow berkata beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pemuda MCA Bahagian Jelebu sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.

“Walaupun tidak pernah menjadi wakil rakyat sebelum ini, saya sudah lama terlibat dalam jentera BN di Bahagian Jelebu.

“Ini termasuk membantu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam menguruskan perkara berkaitan masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

“Pengalaman itu menjadi antara asas yang membantu saya untuk memikul amanah yang diberikan pada kali ini,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button