Semarak Bulan Kebangsaan JPNS 2026 meriah, suntik semangat patriotisme warga pendidikan
SEREMBAN: Majlis Perasmian Semarak Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Tahun 2026 berlangsung dengan penuh semangat patriotisme dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada warga jabatan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.
Dalam ucapannya, beliau menyeru seluruh warga pendidikan agar terus menyemarakkan semangat cintakan negara serta menghayati erti kemerdekaan melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program berteraskan patriotisme.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan sambutan, antaranya Pertandingan Permainan Tradisional yang mempertandingkan acara Teng-Teng, Batu Seremban dan Sepak Bulu Ayam.
Penganjuran pertandingan itu bukan sahaja menceriakan suasana sambutan, malah mengimbau kembali permainan tradisional yang pernah menjadi hiburan masyarakat suatu ketika dahulu.
Aktiviti seumpama ini dilihat mampu memelihara dan mewariskan khazanah budaya negara, sekali gus memperkukuh jati diri serta identiti bangsa dalam kalangan warga pendidikan.
Pada majlis sama, Khalidah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Pembikinan Video Merdeka.
Hadiah utama berupa sebuah televisyen 32 inci dimenangi oleh Nurul Hisham Hamid dari sektor pembelajaran.

Selain itu, hadiah turut diberikan kepada 11 penyertaan lain hasil sumbangan sepenuhnya daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.
Turut mencuri perhatian ialah Pertandingan Memasak Masakan Tradisional Menggunakan Produk MAGGI yang mengetengahkan kreativiti peserta dalam menghasilkan hidangan berasaskan cita rasa tradisional.
Gelaran johan dimenangi oleh kumpulan Lomak Maneh Merdeka dari Sektor Pengurusan Sekolah yang berjaya memikat hati juri menerusi keunikan persembahan serta keenakan masakan.
Secara keseluruhannya, program Semarak Bulan Kebangsaan JPNS 2026 berjaya mencapai matlamatnya dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di samping meningkatkan semangat patriotisme, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan warga Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan sebagai platform untuk memupuk rasa cinta akan negara serta menghargai warisan budaya yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.




