Berita

Tiada Kenaikan Cukai Pintu Kediaman Bagi Lima Tahun Akan Datang – Ismail Lasim

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar cukai pintu kediaman bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pertama Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi sesi pentadbiran baharu hari ini.

“Keputusan ini dibuat walaupun pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini sedang menjalankan kajian berhubung cadangan kenaikan cukai pintu yang dijadualkan dilaksanakan pada Januari atau Julai tahun depan.

“Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan tidak akan ada kenaikan cukai pintu kediaman bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

“Ini adalah sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat MMKN di Wisma Negeri Sembilan hari ini.

Ismail berkata, keputusan itu mengambil kira kepentingan rakyat memandangkan cukai pintu merupakan bayaran yang perlu ditanggung oleh pemilik kediaman.

Katanya, kajian mengenai kenaikan kadar cukai pintu sebelum ini dibuat berikutan kadar berkenaan sudah lama tidak dinaikkan.

“Memang sebelum ini ada kajian untuk kenaikan, sedikit kenaikan sebab sudah lama tidak dinaikkan.

“Bagaimanapun, hari ini kita sudah membuat keputusan untuk memberhentikan kajian itu dan memutuskan tidak akan ada kenaikan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kepentingan rakyat serta semua pihak berkepentingan di Negeri Sembilan.

“Kita adalah amanah untuk mentadbir kerajaan negeri. Jadi kita akan cuba sebaik mungkin, seadil mungkin dalam apa juga keputusan yang kita buat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button