Berita

ADUN Baharu Negeri Sembilan Bakal Angkat Sumpah Pada 18 Ogos Ini

SEREMBAN: Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berlangsung pada 18 Ogos ini bagi membolehkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu mengangkat sumpah jawatan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker DUN turut akan dilantik namun nama calon bagi kedua-dua jawatan berkenaan masih dalam pertimbangan kerajaan negeri dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Untuk Speaker, kita ambil daripada luar bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala Timbalan Speaker mesti daripada kalangan ADUN.

“Nama Timbalan Speaker sebenarnya sudah ada, tinggal lagi minggu depan kita umumkan,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Negeri Sembilan hari ini.

Ismail berkata, penetapan tarikh sidang khas itu dibuat lebih awal bagi memastikan tempoh notis yang diperlukan mencukupi sebelum persidangan berlangsung.

Dalam pada itu, beberapa perkara lain turut akan dibawa dalam sidang khas berkenaan termasuk Belanjawan Tambahan Negeri.

Ismail berkata, Belanjawan Tambahan itu antaranya mengambil kira keperluan pembayaran bagi projek Masjid Negeri yang sedang dilaksanakan, Bantuan Khas Kerajaan (BKK) serta bayaran hutang kepada Kerajaan Persekutuan.

“Semua ini akan dimasukkan dalam Belanjawan Tambahan.

“Nanti apabila Belanjawan Tambahan dibentangkan, semua pihak akan mengetahui perkara yang ditambah serta sebab-sebab penambahan itu dibuat,” katanya

Show More

Related Articles

Back to top button