Berita

Keselamatan makanan perlu beralih kepada pendekatan proaktif

BANGI: Sistem keselamatan makanan negara perlu melalui transisi penting dengan memanfaatkan inovasi dan teknologi baharu bagi menangani ancaman yang semakin kompleks, kata Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, pendekatan keselamatan makanan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kaedah pemantauan konvensional dan reaktif, sebaliknya perlu diperkasa menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta analisis prediktif.

“KKM kini sedang giat melaksanakan reformasi tadbir urus keselamatan makanan yang beralih daripada kaedah pemantauan yang konvensional dan reaktif, kepada pendekatan proaktif dengan bertindak sebagai pengawal selia pintar yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan analisis prediktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Persidangan Keselamatan Makanan 2026 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini.

Persidangan bertemakan “Inovasi dan Teknologi Baharu Cabaran atau Peluang?” itu menghimpunkan kira-kira 300 hingga 400 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, rakan industri dan penyelidik.

Menurut Dzulkefly, ancaman terhadap keselamatan makanan kini semakin kompleks berikutan faktor seperti perubahan iklim, pencemaran bahan kimia dan kehadiran mikroplastik.

Katanya, prinsip One Health yang mengimbangi kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar perlu dijadikan pendekatan rentas kementerian dalam menangani cabaran berkenaan.

Keperluan pendekatan lebih holistik itu turut didorong peningkatan nilai import komoditi makanan negara yang mencecah RM78.9 bilion pada 2023.

Dalam perkembangan sama, persidangan berkenaan turut menyaksikan pengumuman serta pemeteraian rasmi keahlian Malaysia dalam Asia-Pacific Food Regulatory Authority Summit (APFRAS), sekali gus mencatat pencapaian penting negara di peringkat antarabangsa.

Dzulkefly turut menggariskan lima amanat kepada pemegang taruh, termasuk memperkasa integriti sistem keselamatan makanan, membudayakan inovasi secara bertanggungjawab, meningkatkan daya saing industri eksport berteraskan rujukan global, memperkukuh kerjasama kerajaan dan industri serta mendigitalkan analitik data merentasi kementerian.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) Kementerian Kesihatan (KKM), Dato’ Sri Zahrul Hakim Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) KKM, Ts Zailina Abdul Majid.

Show More

Related Articles

Back to top button