Hal Ehwal Agama Islam Diberi Perhatian, Ismail Lasim Teruskan Agenda Pentadbiran

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim meneruskan agenda pentadbiran negeri dengan memberi perhatian terhadap pengurusan hal ehwal Islam menerusi sesi taklimat bersama agensi agama Islam negeri di pejabat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), hari ini.
Menurut Ismail, sesi berkenaan melibatkan MAINS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan bagi meneliti pencapaian semasa, cabaran serta perancangan strategik setiap agensi dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan hal ehwal Islam di negeri ini.
“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dan penyelarasan bersama institusi agama bagi memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi manfaat kepada umat Islam serta menyokong agenda pembangunan ummah dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keperluan masyarakat Islam terus diberi keutamaan di samping memperkukuh kesejahteraan dan kestabilan masyarakat.
Sementara itu, pendekatan berkenaan turut selari dengan penekanan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang memberi tumpuan kepada aspek kebajikan, kesejahteraan rakyat, pembangunan keluarga, pendidikan serta pengukuhan institusi agama.
Sesi taklimat tersebut menjadi antara gerak kerja awal pentadbiran baharu Negeri Sembilan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai fungsi, pencapaian, cabaran dan keperluan setiap agensi agama negeri dalam memastikan agenda pentadbiran yang lebih inklusif serta responsif terhadap keperluan masyarakat dapat diteruskan.
Ia sekali gus bagi memastikan perkhidmatan berkaitan hal ehwal agama Islam terus diperkukuh selaras dengan agenda pembangunan ummah serta kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Timbalan Pengerusi MAINS, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Shahrom, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Dato’ Dr. Faudzinaim, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Dato’ Kamal Bashah, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Mohd Alimi serta Pemangku Pengarah JHEAINS, Amiza Khusyri Yusof.



