Bengkel aspirasi pelajar SPM Tahfiz Negeri Sembilan

PORT DICKSON: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menganjurkan Bengkel Aspirasi Pelajar SPM Tahfiz Negeri Sembilan 2026 dengan tema ‘Memperkasa Aspirasi, Memacu Kecemerlangan Pelajar Tahfiz’ pada 8 hingga 9 Ogos 2026 bertempat di Klana Beach Resort, Port Dickson.
Bengkel ini melibatkan seramai 83 orang pelajar daripada enam buah madrasah dan pondok tahfiz di Negeri Sembilan sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh persediaan akademik, meningkatkan motivasi serta membina aspirasi pelajar tahfiz dalam menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Program anjuran MAINS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Task Force SPM Negeri Sembilan merangkap Ahli MAINS, Dato’ Pkharuddin Ghazali.
Turut hadir Setiausaha MAINS, Zainal Said dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MAINS, Mohamad Idris Ramli.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan MAINS dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan dalam kalangan pelajar tahfiz, khususnya melalui pendekatan yang mengintegrasikan kecemerlangan akademik, penguasaan ilmu, pembentukan sahsiah dan penghayatan al-Quran.
Melalui kerjasama strategik antara agensi agama, pendidikan, institusi tahfiz serta ibu bapa, usaha ini diharapkan dapat melahirkan generasi pelajar tahfiz yang berdaya saing, berilmu, berintegriti dan berupaya mencapai kecemerlangan dalam SPM, seterusnya menjadi aset kepada agama, bangsa dan negeri.




