Berita

Kapasiti LRA Kuala Klawang akan dinaikkan kepada lapan juta liter air sehari

SEREMBAN: Masalah gangguan bekalan air semasa atau selepas hujan di kawasan Kuala Klawang berpunca daripada peningkatan kadar kekeruhan sumber air mentah yang tinggi di Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Klawang, terutamanya apabila hujan lebat berlaku di kawasan tadahan iaitu di Muka Sauk Ulu Kemin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kadar kekeruhan yang optimum menyebabkan operasi rawatan air terpaksa dihentikan sementara bagi memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna kekal mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, SAINS telah melaksanakan beberapa tindakan seperti berikut:

i. Memastikan paras kolam LRA Kuala Klawang sentiasa berada pada paras tinggi bagi menyediakan bekalan air dalam jangkamasa selama enam jam dari bermulanya gangguan bekalan air mentah di Muka Sauk Ulu Kemin.

ii. Meningkatkan sistem pam air terawat LRA Kuala Klawang dari 250 meter padu sejam ke 500 meter padu sejam untuk mempercepatkan tempoh pengisian kolam LRA Kuala Klawang selepas kualiti air kembali normal.

Bagi tindakan jangka panjang, Kerajaan Negeri melalui SAINS telah mengenalpasti dan kini dalam proses pertimbangan serta kelulusan pihak/agensi Persekutuan/Negeri bagi melaksanakan pelan menyeluruh termasuklah:

i. Cadangan kerja-kerja penambahbaikan LRA Kuala Klawang dari enam juta liter sehari ke lapan juta liter sehari melalui peruntukan Pengurusan Aset AirBerhad (PAAB).

Status permohonan ini adalah dalam proses kelulusan oleh pihak PAAB.

ii. Cadangan bagi penyambungan sistem agihan bekalan air dari LRA Titi ke sebahagian sistem agihan LRA Kuala Klawang.

Ini dapat mengurangkan beban kepada LRA Kuala Klawang akibat dari kualiti sumber air mentah di Muka Sauk Ulu Kemin.

iii. Permohonan kepada Badan Kawal Selia Air (BKSA) bagi mempertimbangkan untuk mengadakan ‘Empangan Sabo’ bagi Muka Sauk Ulu Kemin.

“Kerajaan Negeri yakin bahawa melalui pelaksanaan langkah-langkah ini, masalah gangguan air semasa dan selepas hujan di kawasan Kuala Klawang dapat dikurangkan secara berperingkat, seterusnya ditangani secara menyeluruh dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” jelas Aminuddin.

Dato’ Ir. Bakri Sawir

Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Klawang, Dato’ Ir. Bakri Sawir (PH) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.

Bakri membangkitkan isu gangguan air terawat SAINS semasa atau selepas hujan sering berlaku di kawasan Kuala Klawang dan sekitarnya yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Apakah tindakan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri Sembilan untuk menoktahkan masalah ini? tanya beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button