DUN Negeri Sembilan dibubar berkuat kuasa hari ini

SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perkenan pembubaran itu diterima pada jam 8.30 malam semalam, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang akan datang.
“Notis rasmi mengenai pembubaran DUN akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut termasuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
“Pembubaran ini memberi peluang kepada rakyat untuk menentukan semula mandat serta hala tuju pentadbiran negeri melalui proses pilihan raya,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada malam Khamis.
Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat pihak yang sebelum ini menyokong Kerajaan Negeri tetapi kemudiannya menarik balik sokongan mereka, yang menjadi antara faktor kepada perkembangan politik semasa.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa keputusan pembubaran tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan mendapat persetujuannya.
Mengenai persiapan menghadapi PRN, beliau berkata rundingan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan telah selesai dan PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN di negeri itu.
“Persetujuan telah dicapai antara Amanah, DAP dan Keadilan.
“Pembahagian kerusi dijangka dimuktamadkan serta diumumkan minggu hadapan,” kata Aminuddin.
Untuk rekod, PRN Negeri Sembilan yang Ke-15 yang lalu berlangsung pada 12 Ogos 2023, menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 17 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) memenangi 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menguasai lima kerusi.
Penggal pentadbiran semasa sebenarnya hanya akan berakhir pada September 2028 sekiranya DUN tidak dibubarkan lebih awal.



